Rabu, Julai 20, 2011

Ejaan Dewan Bahasa dan Pustaka Berbeza


Sebagaimana yang telah diketahui umum, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengambil langkah bijak apabila menerbitkan Kamus Dewan Dalam Talian selain daripada penerbitan Kamus Dewan yang telah dibukukan. Hal ini dilihat sebagai salah satu wadah bagi memperkembang bahasa Melayu disamping memudahkan pencinta bahasa membuat rujukan sekiranya berlaku kekeliruan dalam aspek makna dan ejaan khususnya.


Namun begitu, beberapa hari yang lalu, Datuk Adilah Shek Omar yang merupakan Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) menegur tentang wujudnya perbezaan ejaan selepas mendapati ejaan sesetengah perkataan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat dan Kamus Dewan Dalam Talian adalah berbeza. Perbezaan yang dinyatakan oleh beliau adalah merujuk kepada singkatan Yang Berbahagia dalam Kamus Dewan Edisi Keempat misalnya YBhg., manakala dalam laman sesawang, YBhg dieja tanpa titik.


Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Rusli Abd Ghani telah menjernihkan suasana, menjawab kekeliruan tersebut dengan menyatakan bahawa ketidakseragaman dalam ejaan disebabkan oleh gaya penerbitan dan tidak memudaratkan penggunaan bahasa.


Menurut beliau, sebenarnya tidak ada pedoman dalam penggunaan titik. Apa yang penting ia selaras dalam satu wacana dan bergantung kepada penulis sama ada mahu menggunakannya atau tidak. Misalnya singkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) tidak ada titik adalah disebabkan oleh permintaan pihak istana.

Oleh itu, kita seharusnya memandang positif kepada Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka dalam usaha mereka untuk membantu memartabahkan bahasa Melayu, tambahan pula kita merupakan penutur asli bahasa Melayu maka kita jugalah yang harus memperjuangkannya. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.


Oleh:
Mohd Azmi bin Mohd Noor

1 respon:

Jalalludin berkata...

Artikel yang menarik dan perlu difikirkan.Nama penuh pengirim artikel?

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Reka bentuk oleh Pusat Servis Terhebat | Dengan kerjasama Encik Jalalludin dan rakan-rakan PISMP Bahasa Melayu Ambilan Januari 2009 | Delegasi Pencinta Bahasa