Isnin, Julai 25, 2011

Usah Lagi Meminggirkan Bahasa Sendiri

ANTARA isu hangat masih terus diperkata ialah keupayaan pelajar menguasai bahasa Inggeris yang dianggap berada di takuk lama dan tidak memberangsangkan. Kegagalan menguasai bahasa itu dianggap bukan saja merencatkan masa depan, malah meletakkan mereka dalam kelompok kelas kedua yang bakal ketinggalan dalam persaingan dunia global.

Tidak mahu terus dibelenggu kecaman, pelbagai usaha dilakukan semata-mata mahu memastikan golongan terbabit berjaya menguasai bahasa antarabangsa itu biarpun secara asasnya, penguasaan bahasa Inggeris yang baik bukan jaminan total memperoleh pekerjaan. Di tengah-tengah kerancakan itu pula, masyarakat seolah-olah terlupa kepentingan menguasai bahasa Melayu yang turut sama berperanan dalam pembangunan akademik, sahsiah serta profesionalisme bangsa. 

Meskipun mendapat pengiktirafan dunia, hakikatnya masih ramai malu mahu menuturkan bahasa Melayu dengan alasan ‘takut jatuh standard’ sehingga bahasa itu seolah-olah menjadi asing dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah bahasa Melayu tidak berperanan besar membantu pelajar memasarkan diri dalam arena pekerjaan, sekali gus gagal menawan hati majikan? Atau sebenarnya, pelajar sendiri malu menutur dan memartabatkannya hingga ia menjadi ‘bahasa diskriminasi’ serta dianggap bahasa kelas bawahan bagi mereka yang mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik?

Amat menyedihkan bila penutur asli bahasa Melayu sendiri yang meminggirkan bahasanya secara terang-terangan malah ada antara mereka menganggap bahasa Melayu sebagai bahasa picisan. Hal ini mungkin disebabkan oleh ketaksuban mengagungkan bahasa asing. Keadaan bertambah kritikal apabila wujud tanggapan dangkal mengenai kepentingan bahasa Inggeris di pasaran semasa hingga mengakibatkan kelestarian bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda semakin terpinggir. 

Hakikatnya, fungsi bahasa bukan saja mencerminkan perpaduan atau konsep jati diri secara individu, malah mengimbangi semua keperluan semasa. Bahasa merupakan medium interaksi menyampaikan maksud dan melaksanakan tanggungjawab. Tidak menolak kepentingan menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi dunia, namun meminggirkan bahasa Melayu dalam konteks pendidikan atau sebagai bahasa picisan tidak boleh dilakukan terutama di kalangan warga berpendidikan institusi pengajian tinggi.

Keadaan ini bukan saja menimbulkan ketaksuban terhadap bahasa luar, malah memecah-belahkan pelajar kepada dua kelompok iaitu mereka yang fasih dianggap terbaik manakala tidak sebagai golongan bertaraf kelas kedua. Ini sekali gus mewujudkan jurang dan ketidakadilan dalam penilaian pelajar. Bayangkan, hanya kerana tidak fasih berbahasa Inggeris, mereka dianggap tidak layak atau kurang berkemampuan.Walaupun diakui, pelajar yang fasih berbahasa Inggeris lebih menonjol, tiada siapa dapat memberi jaminan mereka boleh melaksanakan tanggungjawab dengan baik. 

Ini bukan soal prejudis namun sebagai contoh perbandingan, bahasa tidak boleh dijadikan penilaian untuk memberi kredit kepada pelajar.Bahasa Melayu sangat kompleks kerana mempunyai banyak keindahan bahasa yang tersembunyi, berbentuk kiasan, puitis dan indah. Berbanding bahasa Inggeris, bahasa melayu lebih mudah dan tidak memerlukan penghayatan mendalam. Pelajar yang boleh menguasai bahasa Melayu, selalunya boleh menguasai bahasa Inggeris namun keadaan menjadi sukar sebaliknya.

“Apa salahnya menggunakan bahasa Melayu, adakah jatuh standard atau lekeh?


Oleh :
Nur Idayu binti Mat Jusoff

0 respon:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Reka bentuk oleh Pusat Servis Terhebat | Dengan kerjasama Encik Jalalludin dan rakan-rakan PISMP Bahasa Melayu Ambilan Januari 2009 | Delegasi Pencinta Bahasa