Isnin, Ogos 15, 2011

Soalan (c) Tugasan BMM 3111

Soalan tugasan ini menuntut pelajar mencari satu artikel atau rencana ilmiah daripada majalah atau surat khabar sebagai bahan analisis. Panjang artikel adalah antara 1000 hingga 1500 patah perkataan.

Gunakan Kamus Dewan dan Pedoman Umum Pembentukan Istilah-istilah Bahasa Melayu sebagai bahan rujukan.

Soalan tugasan ini juga menuntut pendokumentasian skrip jawapan dalam bentuk jadual pengklasifikasian kosa kata (Rujuk jadual di bawah)

Pertama sekali, rakan-rakan perlu faham tentang konteks 'istilah'. Dalam sesuatu ayat, bukan semua perkataan itu dikatakan istilah. Perkataan yang dikatakan istilah ialah perkataan yang berkaitan dengan sesuatu bidang. Contohnya, perkataan algebra berkaitan dengan bidang Matematik, perkataan fotosintesis berkaitan dengan bidang Sains, fonetik berkaitan dengan bidang Linguistik dan sebagainya.

Contoh dalam kajian ayat pula; Yahya belajar tentang semantik. Menerusi ayat tersebut kita harus faham bahawa perkataan yang dikatakan istilah hanyalah perkataan 'semantik'. Hal ini dikatakan demikian kerana perkataan semantik merujuk pada sesuatu bidang Linguistik.

Perkataan semantik inilah yang harus kita kaji dan analisis menerusi Kamus Dewan. Saya gunakan Kamus Dewan edisi keempat sebagai rujukan. Berikut ialah langkah untuk menganalisis:
  1. Baca artikel dan cari perkataan yang berkaitan dengan sesuatu bidang. Contohnya perkataan semantik seperti dalam ayat Semantik ialah kajian tentang makna. Kemudian cari perkataan semantik dalam Kamus Dewan, kita akan temui perkataan tersebut pada muka surat (1433). Dalam Kamus Dewan tersebut tercatat; semantik (lin)- kajian tentang makna perkataan dan penambahan makna sesuatu kata.
  2. Perhatikan kepada abjad singkatan dalam kerungan bersebelahan perkataan tersebut iaitu (lin). Rujuk pula maksud singkatan itu dalam Kamus Dewan pada muka surat 1i; (lin) membawa maksud linguistik. Maknanya perkataan semantik dikelompokkan dalam bidang linguistik.
  3. Perkataan semantik merupakan kosa kata bahasa Asing kerana perkataan tersebut tidak terkandung dalam daftar kata bahasa Melayu mahupun bahasa Serumpun. Maka isikan perkataan semantik ke dalam ruangan Kosa Kata Bahasa Asing.

- Diedit oleh En. Jalalludin bin Ibrahim

Terkini Tugasan BMM 3111

Rakan-rakan disarankan melengkapkan terlebih dahulu skrip tugasan untuk soalan (a) dan (b) memandangkan soalan-soalan tersebut merujuk kepada isi pembelajaran kita pada kuliah-kuliah sebelum ini. Rujukan soalan tugasan boleh dirujuk di sini.

Bagi soalan (a), sila baca buku yang berkaitan dengan semantik dan peristilahan. Segala rujukan perlu dicatatkan pada bahagian bibliografi. Jangan hanya bergantung pada akses Internet sahaja. Hasil kerja untuk soalan ini dalam bentuk esei. Panjangnya lebih kurang 5-10 muka surat.

Untuk soalan (b) pula, semua pelajar perlu merujuk buku Tatabahasa Dewan (Bab 19)-Konsep Transformasi Generatif. Anda perlu melihat pada tiga konsep penerbitan ayat iaitu pengguguran, penyusunan semula dan peluasan. Dengan menggunakan contoh ayat sendiri, huraikan bagaimana sesuatu ayat diterbitkan. Huraian perlu disertakan dengan rajah seperti dalam Bab 19 buku Tatabahasa Dewan itu.Jangan ambil ayat daripada buku tersebut.

Untuk soalan bahagian (c) diberi kelonggaran ruang pertanyaan sehingga tamat cuti Aidilfitri nanti memandangkan kuliah tentang tajuk tersebut masih belum disentuh oleh pensyarah pada kuliah sebelum ini. Namun begitu, saya akan cuba bantu memperjelas soalan tersebut di sini.

- Disunting oleh En. Jalalludin bin Ibrahim

Sabtu, Ogos 13, 2011

GURU BAHASA YANG BAIK

Bahasa merupakan alat perhubungan yang penting dalam kehidupan manusia. Melalui bahasa seseorang itu dapat berkomunikasi dengan orang lain untuk menyampaikan kehendak, perasaan, pendapat, pengalaman, buah fikiran, pengetahuan, mendapatkan informasi, menambahkan ilmu pengetahuan, memahami orang lain dan sebagainya (Raminah Hj. Sabran, 1993). Pembelajaran bahasa secara formalnya berlaku di sekolah. Oleh itu, guru-guru bahasa Melayu memainkan peranan yang utama bagi memastikan murid-murid di sekolah dapat mempelajari bahasa Melayu dengan sebaik-baiknya.


Kepentingan terhadap penguasaan bahasa lebih ketara dalam bidang pendidikan kerana bahasa menjadi medium utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Bahasa digunakan dalam interaksi lisan antara guru dengan murid. Hal ini jelas dinyatakan dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia (Melayu) sekolah rendah dan juga sekolah menengah. Banyak aktiviti dan kemahiran yang menekankan aspek-aspek kemahiran bahasa dalam sukatan pelajaran. Perkara ini diberi tumpuan utama bertujuan untuk mencapai objektif pengajaran bahasa Melayu iaitu membolehkan murid-murid mendengar, bertutur, membaca dan menulis.

Oleh itu, guru bahasa Melayu memainkan peranan yang penting dalam menentukan kejayaan murid-murid mereka dalam penguasaan bahasa Melayu. Ab. Rahman Ab. Rashid, Yap Kim Fatt dan Ab. Rahim Selamat (1997) menggariskan empat peranan guru bahasa Melayu iaitu sebagai perancang pengajaran dan pembelajaran; penggerak dan pendorong pengajaran dan pembelajaran; pembimbing murid; dan pemupuk semangat dan pembentuk sahsiah murid. Seorang guru bahasa Melayu yang baik adalah guru yang mampu memilih kaedah, pendekatan dan teknik pengajaran yang sesuai dengan sesebuah aktiviti pengajaran dan pembelajaran bahasa.

Oleh :
Mohd Nor Azmi Muhamad

Khamis, Ogos 11, 2011

Dialek Johor-Riau

Dialek Johor-Riau
Dialek ini digunakan di hampir semua bekas jajahan empayar Johor-Riau di Semenanjung. Dialek Johor-Riau kini menjadi asas kepada pembentukan Bahasa Melayu standard di Malaysia. Ciri utama dialek ini adalah akhiran ‘a’ yang dibunyikan sebagai ‘ě’. Seperti contoh:
           
            Saya - disebut sayě
            Apa – disebut Apě
            Berapa – disebut Berapě

Bagaimanapun akhiran ‘a’ untuk kata-kata yang diadotasi dari perkataan Indonesia dikekalkan seperti sebutan asal :
           
            Anda – disebut anda
            Merdeka - disebut Merdeka

bunyi akhiran ‘r’ tergugur pada kata-kata seperti berikut:

Besar - disebut Besa (dengan sebutan a yang betul)
lebar - disebut Leba (dengan sebutan a yang betul)
sabar - disebut Saba (dengan sebutan a yang betul)

Bunyi ‘o’  diguna menggantikan kata-kata yang berakhir dengan sebutan ‘ur”

Tidur – disebut Tido
Telur – disebut Telo

Pengguguran bunyi ‘r’ ditengah kata sebelum huruf konsonen seperti berikut:

            Kerja - disebut Keja (a menjadi sebutan ě)
            Pergi - disebut Pegi
            Berjalan - disebut Bejalan 

bersambung....daripada Cg.Fadil..    :-)

Rabu, Ogos 10, 2011

Variasi Bahasa dan bahasa Baku

Bahasa ialah kepunyaan masyarakat yang menuturkannya. Makin besar jumlah penuturnya, makin luas daerah penyebaran bahasa itu, dan makin banyak pula perbezaan yang wujud dari segi penggunaannya. Demikian juga halnya dengan bahasa Melayu. Dalam rangka Malaysia, di Semenanjung Tanah Melayu sahaja sudah terdapat berbagai-bagai dialek, seperti dialek Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor. Demikian juga terdapat variasi-variasi bahasa Melayu yang wujud oleh sebab faktor-faktor sosial, seperti latar belakang pendidikan, jenis pekerjaan, dan kedudukan sosioekonomi penutur yang berbeza-beza.

Hakikat bahasa dan variasi-variasinya sudah lama diakui oleh ahli-ahli bahasa. Namun apabila mereka merujuk sesuatu bahasa tertentu, misalnya bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, mereka mempunyai gambaran tentang satu kesatuan bahasa, yang walaupun mempunyai berbagai-bagai kelainan, masih terdiri daripada satu keseluruhan. Daripada beberapa variasi satu bahasa, satu variasi tertentu dipilih sebagai mewakili bahasa tersebut dan variasi inilah yang menjadi ukuran apabila kita merujuk sifat umum bahasa tersebut. Dalam bidang ilmu bahasa, variasi yang dipilih untuk mewakili satu bahasa secara menyeluruh itu disebut bahasa standard atau bahasa baku.

Bahasa Melayu baku ialah variasi yang digunakan apabila orang-orang daripada berbagai-bagai dialek di negara ini berkumpul dan berbincang. Dengan tujuan untuk difahami, tiap-tiap pihak berusaha menggugurkan ciri-ciri kedaerahan masing-masing dan menggunakan sedikit sebanyak variasi yang bersifat bahasa Melayu umum, yang dari segi sejarahnya berasaskan dialek bahasa Melayu Johor Riau. Variasi ini, yang sekarang dikenal sebagai bahasa Melayu baku, ialah variasi yang digunakan dalam sistem pendidikan (bahasa sekolah), dalam semua situasi rasmi seperti dalam ucapan-ucapan, mesyuarat dan persidangan dan dalam media massa.

Oleh:
Nurul Nazwa bin Osman

Definisi Semantik


  1. Istilah ‘semantik’ berasal dari perkataan Yunani ‘semantickos’ yang bermaksud ‘penting; bererti’.
  2. Semantik ialah cabang linguistik yang akan membahas erti atau makna (J.W.M. Verhar, 1996).
  3. Semantik merupakan bidang studi linguistik yang objek penelitiannya makna bahasa (Abdul Chaer,1994).
  4. Kajian tentang makna perkataan dan penambahan makna sesuatu kata. (Kamus Dewan, 1997: 1228)
  5. Bidang yang mengkaji dan menganalisis makna kata dan ayat.
  6. Secara umumnya ialah ilmu tentang erti atau perubahan erti sesuatu perkataan.
  7. Secara khusus pula ialah kajian tentang lambang-lambang atau tanda yang menyatakan makna, hubungan antara makna dengan makna lain serta pengaruh makna terhadap masyarakat.
  8. Kajian tentang lambang-lambang atau tanda yang menyatakan makna, hubungan antara makna dengan makna lain serta pengaruh makna terhadap masyarakat.

Oleh:
Nurul Nazwa binti Osman

Isnin, Ogos 08, 2011

Isu Bahasa Rojak

Bahasa Rojak digunakan secara meluas terutama di kalangan remaja bandar, yang sekaligus membimbangkan orang dewasa tetang penggunaan bahasa Melayu yang betul. Baru-baru ini kerajaan Malaysia memutuskan hendak melaksanakan penggunaan bahasa Melayu yang betul terutama di sektor swasta dengan tidak menggalakkan penggunaan Bahasa Rojak. Sebagai contoh, TV3 telah menukar nama Karnival Sure Heboh menjadi Karnival Jom Heboh oleh sebab kebimbangan orang ramai.


Majalah komik sering disalahkan kerana menjadi punca Bahasa Rojak dan isu ini sering diperdebatkan. Perkataan atau frasa yang ditulis dalam Bahasa Rojak sering ditekstebalkan untuk memungkinkan pembaca mengenalpasti mereka (seperti dalam majalah Ujang dan Apo?). Secara khususnya, menjelang akhir tahun 2003, majalah Gempak dan Kreko menggunakan bahasa yang lebih formal dan meminimakan penggunaan Bahasa Rojak.

 Bahasa Rojak (Bahasa Melayu campur bahasa Inggeris)

  • Kau memang terror (hebat) la!
  • Tempat makan ni best (bagus) sangat!

Bahasa Rojak (Bahasa Melayu campur bahasa Cina)

  • Nak makan sini ke nak tapau (bungkus)?
  • Jangan susah hati maa, lu punya bos mesti boleh kaw tim (bertolak ansur) punya maa!
  • Apasal (Kenapa) lu buat ini kerja cincai (tak sempurna)?

Oleh:
Mohd Fahdil bin Mohamad

Ahad, Ogos 07, 2011

C. I. K. G. U.

Kita sering terdengar ayat yang berbunyi `Guru Sebagai Satu Profesion`. Jika dilihat kepada definisi profesion, menurut Kamus Dewan istilah ini merujuk kepada bidang pekerjaan khasnya yang memerlukan pendidikan dan kecekapan serta kemahiran tinggi dan latihan yang khas. Contohnya bidang perundangan, perubatan, perguruan dan lain-lain. Oleh itu, bidang perguruan merupakan pekerjaan yang memerlukan pelajaran yang tinggi dan latihan khas. Bidang perguruan merupakan perkhidmatan yang penting kepada individu dan negara.

Guru merupakan satu profesion pekerjaan yang menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan sesebuah negara. Guru dianggap sebagai pekerjaan yang mulia dan sering disangjungi serta dihormati dalam masyarakat. Saya memilih bidang perguruan sebagai pekerjaan saya kerana bukan sahaja kerana minat saya yang mendalam bahkan juga kerana bidang perguruan ini merupakan bidang yang amat mencabar bagi saya.

Jika dilihat dari konteks tugas dan peranan guru, seseorang guru memikul pelbagai beban tugas dan peranan serta cabaran yang memberikan pelbagai pengalaman dan kekuatan mental serta fizikal.Sejak daripada kecil lagi saya menjadikan guru saya sebagai idola dalam kehidupan saya dan selalu mengimpikan untuk menjadi insan seperti guru-guru saya

Guru merupakan agen sosialisasi yang penting dalam masyarakat. Dalam konteks tersebut, guru dianggap sebagai agen yang berpengaruh dalam mendidik murid bukan sahaja berbentuk akademik tetapi juga nilai-nilai murni yang diserap ke dalam diri pelajar untuk menjadikan mereka insan yang berguna dan berjaya. Proses sosialisasi yang diterapkan oleh guru kepada pelajar dianggap dianggap sebagai proses yang berterusan yang mana pembelajaran tersebut sentiasa berlaku dari satu generasi ke satu generasi yang seterusnya. Selain daripada agen sosialisasi, guru juga dianggap sebagai model pembina negara.

Tanggungjawab guru kepada murid antaranya ialah mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar, bersikap adil terhadap semua pelajar, merahsiakan maklumat ikhtisas, menunjukkan sesuatu cara berpakaian, pertuturan, tingkah laku yang baik, dan yang paling penting membimbing atau mengajar seseorang pelajar. Guru bertanggungjawab secara lansung atau tidak lansung dalam pembentukan sesebuah negara. Dalam hal ini, peranan guru adalah sangat penting bagi membentuk jati diri dan sahsiah seseorang muird. 

Guru memainkan peranan penting selepas ibubapa dalam usaha melahirkan masyarakat yang membangun, dari aspek fizikal dan rohani. Saya memandang profesion perguruan sebagai sebuah profesion yang paling utama dan berpengaruh keatas kehidupan seseorang individu. Profesion perguruan merupakan satu pekerjaan yang khusus dimana ia dilaksanakan oleh orang yang mempunyai kelulusan dan latihan ikhtisas yang cukup bermutu.

Oleh:

Mohd Fahmi Asyraf bin Mohd Nor Azmi

Peribahasa Melayu: Simpulan Bahasa & Maksudnya

Menurut Za'ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.

Peribahasa tradisi merujuk kepada peribahasa yang digunakan dalam pertuturan sehari-harian atau secara bercetak sebelum tarikh kemerdekaan. Peribahasa moden pula merujuk yang dicipta selepas tarikh tersebut. Peribahasa merupakan sabahagian daripada bahasa kiasan dalam budaya Melayu. Berikut merupakan contoh peribahasa yang biasa didengar.



Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud: Segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.



Yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.



Seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang


Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.



Bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.


Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.



Bagai Aur Dengan Tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.



Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.



Bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.



Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.



Melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.



Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Maksud : Dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat



Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.



Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang
susah


Indah khabar daripada rupa
Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.



Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
Maksud : Pengagihan yang sama banyak.



Bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Maksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.



Kacang lupakan kulit
Maksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.



Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Maksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.



Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan



Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua
Maksud : kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya



Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Maksud : Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah



Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudianMaksud : Bersusah payah terlebih dahulu untuk mendapatkan kesenangan pada kemudian hari.


Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayangMaksud : Sesuatu benda tidak akan datang tanpa usaha


Untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksud : orang lelaki yang merisik bakal isterinya.



Bagai ikan pulang ke lubuk
Maksud : a. Orang yang pulang ke tempat asal. b. Kehidupan yang senang.



Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
Maksud : Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga.



Bak cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa.



Yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
Maksud : Bernasib malang kerana setelah memperoleh sesuatu, tetapi yang sudah di tangan hilang pula.



Biar mati anak, jangan mati adat
Maksud : orang yang kuat perpegang pada adat.



Sediakan payung sebelum hujan
Maksud : Berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana.



Mencari JalanMaksud : Berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara.


Memerah Otak
Maksud : Berfikir dengan bersungguh-sungguh.



Berbesar Hati
Maksud : Gembira.



Anak Buah
Maksud : a. Anak saudara. b. Pekerja di bawah jagaan kita.



Tuan Rumah
Maksud : Tempat berlangsungnya sesuatu acara



Batu Penghalang
Maksud : Halangan



Darah daging
Anak dan saudara-mara daripada keturunan sendiri.



Meninggi diri
Maksud : Sombong



Bermuka Dua
Maksud : Tidak jujur.



Baik Hati
Maksud : Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).



Tulang Belakang
Maksud : Punca kekuatan/ orang harapan



Terang Hati
Maksud : Lekas pandai.



Rendah Hati
Maksud : Tidak sombong



Murah Hati
Maksud : Pemurah.



Tangan Kosong
Maksud : Hampa.



Lintah Darat
Maksud : Peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi.



Anak Dagang
Maksud : Orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat



Oleh:
Nur Atikah bt Mohd Noor

Guru Penjana Minda Anak Bangsa



Guru Penjana Minda Anak Bangsa
Engkau bagaikan cahaya
Yang menerangi jiwa
Dari segala gelap dunia
Menjadikan hidup ini sirna

Engkau adalah setetes embun
Yang menyejukkan hati
Hati yang ditikam kebodohan 
Sungguh mulia tugasmu guru 
Tugas yang sangat besar

Guru engkau adalah pahlawanku 
Yang tidak mengharapkan balasan 
Segala yang engkau lakukan 
Engkau lakukan dengan ikhlas 
Guru jasamu takkan kulupa 
Guru ingin ingin ku ucapkan 
Terima kasih atas semua jasamu

Guru engkau meneraju anak bangsa
Memberi ilmu mencurah bakti
Tidak mengira waktu
Walau di mana jua
Engkau adalah guru yang terbaik
Oleh:
Nur Hafizah binti Jamal Abdul Nasir

Rancangan Pengajaran Tahunan Bahasa Melayu Tahun 1

Rancangan Pengajaran Tahunan Bahasa Melayu Tahun 2

Rancangan Pengajaran Tahunan Bahasa Melayu Tahun 3

Rancangan Pengajaran Tahunan Bahasa Melayu Tahun 4

Rancangan Pengajaran Tahunan Bahasa Melayu Tahun 5

Isu-isu Dalam Ejaan Baharu Bahasa Melayu


Proses penyerapan istilah asing ke dalam bahasa Melayu telah menimbulkan banyak isu kerana ejaannya istilahnya yang bercirikan pelbagai hukum.

1. Perkataan melanggar hukum keselarasan vokal.
Keselarasan vokal ditakrifkan sebagai kesesuaian dua huruf vokal yang membentuk dua suku kata pada kata dasar, iaitu pasangan antara huruf vokal pada suku kata praakhir dengan huruf vokal pada suku kata akhir tertutup. Terdapat beberapa pola keselarasan vokal dalam sistem ejaan bahasa Melayu baharu yang menimbulkan kekeliruan. Contohnya dalam perkataan yang mengandungi “a – e taling” berubah menjadi “a – i “ seperti pada perkataan “kaseh” yang berubah menjadi “kasih” dalam ejaan baharu. Namun demikian terdapat pula kekecualian pada perkataan yang berasal daripada bahasa Nusantara seperti perkataan “aneh” yang masih mengekalkan pola “a – e taling”. Perkataan “kabaret “ juga masih mengekalkan pola “a – e taling” kerana ia berasal daripada perkataan bahasa Inggeris.

2. Penggunaan simbol diakritik tidak menyeluruh.
Tanda yang dipakai dalam ejaan baharu untuk membezakan bunyi-bunyi yang berlainan bagi sesuatu huruf tidak menyeluruh. Ejaan baharu tidak memperlihatkan tanda bagi e pepet [ͽ ] . Ejaan e taling sahaja diberikan dengan simbol [ é ]. Justeru pengguna akan keliru untuk membunyikan perkataan “semak” yang mempunyai makna homograf iaitu “lalang” dan “meneliti”.

3. Keterangan etimologi yang tiada atau yang tidak lengkap.
Keterangan etimologi yang tiada atau yang tidak lengkap dalam ejaan baharu menyebabkan sifat-sifat keasingan kemeresapan perkataan menjadi kabur maknanya dalam bahasa Melayu. Contohnya perkataan “idulfitri” dan “idilfitri” telah diubah menjadi “aidilfitri” dalam ejaan bahasa Melayu baharu. Hal ini tidak menjamin makna dalam bahasa asal yang diterjemah dapat difahami penutur kerana sebutan bunyinya yang telah berbeza daripada bahasa Arab yang asal. Begitu juga halnya dengan perkataan “dharurat” dan “dhaif” ditukarkan konsonan “dh” kepada “d” sahaja iaitu “darurat” dan “daif” menyukarkan makna asal semantik perkataan itu sukar difahami penutur.

4. Ketidakseragaman pergantian vokal.
Ejaan baharu bahasa Melayu menunjukkan ketidakseragaman pergantian vokal. Contohnya dalam perkataan yang mempunyai huruf “e” dalam ejaan lama telah ditukarkan kepada pelbagai variasi vokal seperti “a”, “ai”, “i”, dan “u”. Contohnya perkataan “pabean” menjadi “pabean”, perkataan “heran” menjadi “hairan”, perkataan “endah” menjadi “indah”,dan perkataan “pesaka” menjadi “pusaka. Hal sedemikian akan menyukarkan pemahaman pengguna dalam bahasa Melayu.

5. Ketidakseragaman pergantian konsonan.
Ejaan baharu bahasa Melayu menunjukkan ketidakseragaman pergantian konsonan. Contohnya dalam perkataan yang mempunyai huruf “kh” dalam ejaan lama telah ditukarkan kepada variasi konsonan seperti “h” dan “k”. Contohnya perkataan “khaid” menjadi “haid”, dan perkataan “khanduri” menjadi “kenduri” Hal sedemikian akan menyukarkan pengejaan perkataan yang mempunyai konsonan tersebut dalam bahasa Melayu.

Oleh : Mohd Shafiq bin Jahaya

Sabtu, Ogos 06, 2011

Penggunaan 'Baru' dan 'Baharu'

Sepatutnya, "Selamat Tahun Baharu Cina"

Penggunaan perkataan 'baru' dan 'baharu' telah membangkitkan kekeliruan dalam kalangan pengguna bahasa Melayu. Kesepadanan penggunaan perkataan tersebut bakal menjadi satu kesalahan dalam sesuatu konteks ayat. Kebanyakan penulis keliru dengan penggunaan 'baharu' dengan menganggap perkataan tersebut merupakan penggunaan terbaru yang menggantikan perkataan 'baru'.

Namun harus disedari bahawa perkataan 'baru' dan 'baharu' merupakan dua perkataan dalam golongan yang sama, iaitu kata adjektif namun perkataan-perkataan tersebut menggendong makna atau maksud yang berbeza.

Penggunaan perkataan 'baharu' membawa makna new. Ini boleh dilihat dalam konteks ayat, "basikal baharu". Perkataan 'baru' pula boleh jadi kata adjektif ataupun kata bantu mengikut kesesuaian dalam konteks ayat. Antara contoh penggunaannya ialah;
  1. Baru-baru ini; perkataan baru-baru membawa maksud recently.
  2. Baru berlepas; perkataan baru merujuk kepada makna just.

Oleh:
Nur Idayu binti Mat Jusoff

Krisis 13 Mei Bakal Berulang?


Uthaya Sankar SB
Saya secara peribadi sedar dan mengakui betapa Bahasa Malaysia mampu dan berjaya mewujudkan semangat kekitaan di kalangan rakyat Malaysia. Generasi muda, khususnya, sudah sedia menerima Bahasa Malaysia sebagai bahasa milik bersama tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan keturunan.


Dalam hal ini, keputusan yang dibuat pada tahun 1970 berhubung istilah "Bahasa Malaysia" terbukti adalah langkah bijak dan berkesan dalam melahirkan rakyat Malaysia yang berjiwa Malaysia. Sejarah membuktikan bahawa Bahasa Melayu telah digunakan di Kepulauan Melayu sejak abad ketujuh. Terdapat lebih 200 bahasa di Kepulauan Melayu pada waktu itu. Namun, penggunaan Bahasa Melayu pada waktu itu amat meluas kerana mudah dipertuturkan. Maka Bahasa Melayu menjadi lingua franca.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan pula jelas menyebut Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Perlu diingat bahawa pada waktu perlembagaan negara digubal, istilah "Malaysia" belum wujud. Apa yang wujud adalah Persekutuan Tanah Melayu.Pada tahun 1961, Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman mencadangkan pembentukan "Malaysia" - dan cadangan itu menjadi realiti pada 16 September 1963 walaupun mendapat tentangan hebat daripada Indonesia dan Filipina.

Kisah pembentukan Malaysia adalah satu lagi kisah menarik. Tetapi di sini, saya lebih suka berbincang mengenai pembentukan "Bahasa Malaysia" dan "Bangsa Malaysia". Pilihan raya 1969 menyaksikan pihak Perikatan menghadapinya dengan penuh yakin kerana percaya rakyat sudah bersatu. Bagaimanapun, rakyat Bukan Melayu pula ternyata kurang senang dengan kedudukan Bahasa Melayu.

Apabila negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, perlembagaan menyatakan bahawa Bahasa Inggeris boleh digunakan bagi urusan rasmi selama 10 tahun; iaitu sehingga 1967. Jadi, menjelang tahun 1967, timbul soal kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa bagi Bangsa Malaysia.


Pilihan raya pada 12 Mei 1969 ternyata dihadapi oleh semua pihak dengan penuh emosi. Kedudukan politik dan bahasa/budaya penduduk Bukan Melayu menjadi topik hangat dalam kempen pilihan raya. Malah, rakyat Bukan Melayu mula mempersoalkan hak mereka dalam hal berkaitan politik, bahasa dan budaya kebangsaan.

Natijahnya, undi bagi Perikatan susut 10 peratus dan Perikatan menghadapi masalah mendapatkan majoriti dua per tiga di Dewan Rakyat. Penyokong Gerakan dan DAP pula dilaporkan meraikan "kemenangan" mereka dengan mengadakan 'pesta' di jalan-jalan raya di Kuala Lumpur. Penyokong UMNO turut mengadakan 'pesta' bagi meraikan kejayaan. Maka tercetuslah Krisis 13 Mei 1969 yang menjadi titik hitam dalam sejarah negara Malaysia yang berbangga dengan gambaran rakyat pelbagai kaum hidup bersatu-padu, harmoni dan saling memahami. Ramai terkorban dalam tragedi hitam itu; terutama kaum Cina.

Darurat diisytihar, perlembagaan digantung, parlimen dibubar, pilihan raya di Sabah dan Sarawak ditangguh, dan pemerintahan pusat dilaksanakan. Itulah antara langkah segera yang diambil kerajaan pada waktu itu. Segalanya pasti masih segar dalam ingatan sesiapa yang telah mengalaminya.

Krisis 13 Mei 1969 ternyata membawa perubahan drastik pada polisi kerajaan/pemerintah. Perpaduan nasional, tolerensi antara kaum, usaha menghapuskan jurang perkauman dan seumpamanya menjadi agenda utama rakyat dan kerajaan. Semua pihak tiba-tiba sedar bahawa perbezaan sosial dan ekonomi memang wujud di kalangan rakyat dan menjadi masalah utama rakyat Malaysia pada waktu itu.

Lalu, pada 31 Ogos 1970, Rukun Negara dan Rukun Tetangga diperkenalkan. Pada tahun 1970 juga, Dasar Pelajaran Kebangsaan dilaksanakan di mana "Bahasa Melayu" yang menjadi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan mula dikenali sebagai "Bahasa Malaysia".

Minggu Bahasa dan Bulan Bahasa diadakan dengan cogan kata "Bahasa Jiwa Bangsa" - di mana pasti sahaja "Bahasa" merujuk pada "Bahasa Malaysia" dan "Bangsa" merujuk pada "Bangsa Malaysia". Masakan pula cogan kata "Bahasa Jiwa Bangsa" ini membawa makna "Bahasa Melayu Jiwa Bangsa Melayu"!


Pada September 1970, Tunku Abdul Rahman diganti Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia. Polisi Pelajaran di bawah Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975) dilaksanakan, antara lain, bagi mempercepatkan usaha murni kerajaan dan rakyat Malaysia menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di semua sekolah.


Kempen "Cintai Bahasa Kita", "Bahasa Jiwa Bangsa", "Bahasa Menunjukkan Bangsa" dan yang seumpamanya dipergiatkan oleh kerajaan, badan-badan tertentu serta agensi kerajaan dan swasta. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga mengadakan pelbagai acara sastera dan bahasa untuk menanam perasaan cinta rakyat pelbagai kaum terhadap Bahasa Malaysia.


Pada tahun 1990, Bahasa Malaysia mula digunakan di mahkamah. Memang agak pelik jika kita berpeluang mendengar perbicaraan kes di mahkamah menggunakan Bahasa Malaysia tetapi adalah satu kejayaan mendaulatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar utama.

Generasi yang lahir pada tahun 70-an, 80-an dan 90-an terbukti fasih dan menganggap Bahasa Malaysia sebagai bahasa milik bersama setiap rakyat Malaysia. Mereka sedar bahawa Bahasa Malaysia bukan milik kaum Melayu sahaja. Kaum Bukan Melayu di Malaysia terbukti mampu berinteraksi menggunakan Bahasa Malaysia yang betul dan lancar. Ironinya, sekumpulan kaum Melayu pula kini lebih suka menggunakan Bahasa Malaysia yang tidak betul. Misalnya: "Husband I drebar mini bas" di mana frasa ini bukan Bahasa Inggeris dan bukan juga Bahasa Malaysia!

Walau bagaimanapun, apa yang lebih penting, istilah "Bahasa Malaysia" yang diperkenalkan pada tahun 1970 berikutan Krisis 13 Mei 1969 terbukti sudah berjaya membina "Bangsa Malaysia" sebagaimana yang diimpikan.

Pembinaan "Bangsa Malaysia" bermula dengan "Bahasa Malaysia". Demikian saya tegaskan pada Forum Bahasa Kebangsaan & Bangsa Malaysia di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 8 Jun 2002. Kalau pada tahun 1967 wujud perasaan tidak suka terhadap "Bahasa Melayu", kini rata-rata rakyat mencintai "Bahasa Malaysia".

Malah kini terdapat ramai penulis pelbagai kaum yang menghasilkan karya sastera Bahasa Malaysia. Golongan penulis/sasterawan ini mempunyai bakat penulisan serta menguasai Bahasa Malaysia. Mereka juga berjiwa Malaysia. Jadi, lahirlah karya sastera berjiwa Malaysia yang menampilkan citra budaya masyarakat pelbagai kaum - dalam Bahasa Malaysia yang bermutu. Maka penulis pelbagai kaum, karya sastera dan Bahasa Malaysia mula seiring memupuk semangat dan jiwa "Bangsa Malaysia" di kalangan rakyat negara ini.

Walau bagaimanapun, pada 1998, tiba-tiba sahaja mula ada usaha menafikan kewujudan dan kesahihan istilah "Bahasa Malaysia" - dan kononnya hanya istilah "Bahasa Melayu" sah digunakan di negara ini. Isu ini dimulakan oleh seorang editor di sebuah penerbitan terkemuka tanah air sewaktu saya menyelenggara antologi cerpen Bahasa Malaysia oleh penulis kaum India.

Apa yang menghairankan, penerbit terbabit menafikan kewujudan serta kesahihan istilah "Bahasa Malaysia" tetapi masih terus menerbitkan buku-buku "Bahasa Malaysia Tahun Satu-Tingkatan Lima" untuk kegunaan sekolah kerajaan. Nampaknya wujud hipokrasi dalam penerbitan berkenaan berhubung penggunaan istilah "Bahasa Malaysia".

Walau apa sekalipun tindakan pihak berkenaan sejak tahun 1998, Bahasa Malaysia sudah terbukti dapat menyumbang ke arah usaha murni membina Bangsa Malaysia. Kerajaan juga memperakukan kesahihan penggunaan istilah "Bahasa Malaysia" apabila merujuk pada bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini.

Walau bagaimanapun, kalau kewujudan istilah "Bahasa Malaysia" cuba dinafikan oleh mana-mana pihak, nescaya Konflik 13 Mei 1969 akan berulang - dan golongan berjiwa Malaysia seperti saya dan para sasterawan tidak akan dapat berbuat apa-apa untuk mengembalikan semangat kebangsaan dan perpaduan nasional.

Saya katakan demikian kerana istilah "Bahasa Malaysia" itu sendiri dikatakan tidak wujud dan tidak sah digunakan. Lalu, bagaimana boleh "Bahasa Malaysia" yang tidak wujud itu hadir untuk menyatukan rakyat?

Sejak tahun 1970, "Bahasa Malaysia" terbukti berjaya membuka laluan ke arah perpaduan nasional tetapi "Bahasa Malaysia" tidak akan dapat meneruskan usaha itu sekiranya kewujudan istilah "Bahasa Malaysia" dinafikan oleh mana-mana pihak.

Bahasa menunjukkan bangsa. Bahasa jiwa bangsa. Hilang bahasa, hilanglah bangsa. Bahasa Malaysia menunjukkan Bangsa Malaysia. Bahasa Malaysia jiwa Bangsa Malaysia. Hilang Bahasa Malaysia, hilanglah Bangsa Malaysia.

Oleh : 
Abdul Najib bin Awang

Memartabatkan bahasa Melayu


Memartabatkan bahasa Melayu Sebagai Saluran Penguasaan Ilmu

Pengarang : Mohd Ayob Abd Razid

Pelaksanaan PPSMI dilihat gagal beri manfaat kepada pelajar, terutama di luar bandar
USAHA menggerakkan pelaksanaan program memperkasakan Bahasa Malaysia dan Inggeris pada semua peringkat sekolah seperti kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini adalah selaras dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang akan dilaksanakan mulai 2012 bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Memartabatkan bahasa Melayu bermaksud mengembalikan kedudukan bahasa itu sebagai bahasa pengantar di sekolah kebangsaan. Memperkasa bahasa Inggeris pula bermaksud usaha mempertingkat penguasaan bahasa itu melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan supaya pelajar benar-benar dapat menguasainya dengan baik.


Pengumuman pemansuhan PPSMI dan dasar MBMMBI dibuat selepas kerajaan mengkaji dan meneliti pelbagai aspek membabitkan keberkesanan pelaksanaan dasar itu. Kerajaan juga mengambil kira pelbagai pandangan cendekiawan serta pandangan umum mengenai pro dan kontra pelaksanaan PPSMI yang dilaksanakan sejak 2003.



Contoh, tokoh bahasa yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hassan Ahmad, menyatakan PPSMI boleh melemahkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Menurutnya, sebelum ini pelbagai bidang ilmu ditumpukan dalam bahasa Melayu termasuk dalam bidang sains dan matematik.

Bahasa Melayu juga pernah digunakan dengan meluas di pusat pengajian tinggi sehinggakan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi sebuah universiti yang sepenuhnya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Keunggulan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dibuktikan UKM apabila melahirkan ramai siswazah dalam bidang perubatan dan pelbagai bidang lain. Golongan profesional yang dilahirkan oleh UKM dengan pengantar bahasa Melayu turut mahir berbahasa Inggeris.

Peranan DBP yang menterjemahkan banyak buku dalam pelbagai bidang ilmu, termasuk menerbit pelbagai jenis kamus, peristilahan dan buku glosari dalam semua bidang pengajian berjaya mengangkat keupayaan dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Menurut kajian Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), pelaksanaan PPSMI didapati menjarakkan lagi jurang pencapaian sains dan matematik antara pelajar bandar dan luar bandar. Masih ramai guru PPSMI tidak menguasai bahasa Inggeris. Kebanyakan murid pula menunjukkan sikap pasif dan kurang ceria apabila kelas Sains dan Matematik berlangsung.



Majoriti murid, terutama di luar bandar takut bertanya soalan kerana tidak memahami pelajaran yang diajar. Hampir 50 peratus murid didapati tidak faham bahasa Inggeris. Kajian itu juga mendapati lebih 80 peratus murid Melayu sukar memahami pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Justeru, PPSMI dilihat gagal memberi manfaat kepada pelajar, khususnya di luar bandar.

Dalam melaksanakan dasar MBMMBI, Kementerian Pelajaran perlu mengambil beberapa langkah secara teliti dan terancang. Misalnya, untuk menyediakan buku teks dalam bahasa Melayu bagi kedua-dua mata pelajaran terbabit memerlukan jangka masa tertentu. Ini termasuk melantik panel penulis, penyediaan isi kandungan, panggilan tender dan akhirnya proses mencetak. Saya kira proses ini sudah pun berjalan kerana selepas berakhir 2011 nanti maka dasar baru itu akan dilaksanakan.

Kita juga perlu faham selain mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik kepada bahasa Melayu, pada masa sama kerajaan mahu memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Seperti disarankan pakar bahasa bahawa untuk memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, aspek pedagogi pengajaran dan pembelajaran bahasa itu perlu dipertingkatkan.

Oleh itu, kementerian perlu merancang pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dengan berkesan. Justeru, kemampuan melahirkan guru bahasa Inggeris berkualiti amat penting supaya pengajaran dan pembelajaran bahasa itu menjadi lebih berkesan, menarik dan bersifat pembelajaran yang menyeronokkan.

Langkah kerajaan mengambil lebih ramai guru bahasa Inggeris dari luar negara adalah usaha mengatasi masalah kepakaran guru dalam bahasa Inggeris. Saya yakin ia langkah sementara sebelum negara dapat melahirkan lebih ramai guru yang mahir dan pakar dalam pengajaran bahasa Inggeris.

Kerajaan juga boleh mempertimbangkan pengambilan guru bahasa Inggeris yang sudah bersara tetapi masih mampu mengajar dengan berkesan. Guru berpencen yang diambil semula ini perlu memiliki kesihatan yang baik dan didedahkan dengan teknik pembelajaran bahasa Inggeris yang terkini.

Selain itu, penambahan peruntukan masa mengajar bahasa Inggeris di sekolah rendah dan menengah serta Tingkatan Enam dan Matrikulasi, akan dapat memantapkan lagi penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Langkah menjadikan makmal komputer di kebanyakan sekolah sebagai makmal bahasa pula akan dapat memantapkan dasar MBMMBI. Justeru, sekolah yang belum mempunyai kemudahan komputer, perlulah kerajaan segera menyediakannya.

Kesimpulan, dasar MBMMBI mampu mengembalikan semula kedudukan bahasa Melayu dalam pendidikan negara. Pada masa sama, dapat memperkasa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. BH 11/12/2010. Penulis adalah Ketua Unit Penerbitan di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Oleh : 
Abdul Najib bin Awang
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Reka bentuk oleh Pusat Servis Terhebat | Dengan kerjasama Encik Jalalludin dan rakan-rakan PISMP Bahasa Melayu Ambilan Januari 2009 | Delegasi Pencinta Bahasa