Ahad, Ogos 07, 2011

Isu-isu Dalam Ejaan Baharu Bahasa Melayu


Proses penyerapan istilah asing ke dalam bahasa Melayu telah menimbulkan banyak isu kerana ejaannya istilahnya yang bercirikan pelbagai hukum.

1. Perkataan melanggar hukum keselarasan vokal.
Keselarasan vokal ditakrifkan sebagai kesesuaian dua huruf vokal yang membentuk dua suku kata pada kata dasar, iaitu pasangan antara huruf vokal pada suku kata praakhir dengan huruf vokal pada suku kata akhir tertutup. Terdapat beberapa pola keselarasan vokal dalam sistem ejaan bahasa Melayu baharu yang menimbulkan kekeliruan. Contohnya dalam perkataan yang mengandungi “a – e taling” berubah menjadi “a – i “ seperti pada perkataan “kaseh” yang berubah menjadi “kasih” dalam ejaan baharu. Namun demikian terdapat pula kekecualian pada perkataan yang berasal daripada bahasa Nusantara seperti perkataan “aneh” yang masih mengekalkan pola “a – e taling”. Perkataan “kabaret “ juga masih mengekalkan pola “a – e taling” kerana ia berasal daripada perkataan bahasa Inggeris.

2. Penggunaan simbol diakritik tidak menyeluruh.
Tanda yang dipakai dalam ejaan baharu untuk membezakan bunyi-bunyi yang berlainan bagi sesuatu huruf tidak menyeluruh. Ejaan baharu tidak memperlihatkan tanda bagi e pepet [ͽ ] . Ejaan e taling sahaja diberikan dengan simbol [ é ]. Justeru pengguna akan keliru untuk membunyikan perkataan “semak” yang mempunyai makna homograf iaitu “lalang” dan “meneliti”.

3. Keterangan etimologi yang tiada atau yang tidak lengkap.
Keterangan etimologi yang tiada atau yang tidak lengkap dalam ejaan baharu menyebabkan sifat-sifat keasingan kemeresapan perkataan menjadi kabur maknanya dalam bahasa Melayu. Contohnya perkataan “idulfitri” dan “idilfitri” telah diubah menjadi “aidilfitri” dalam ejaan bahasa Melayu baharu. Hal ini tidak menjamin makna dalam bahasa asal yang diterjemah dapat difahami penutur kerana sebutan bunyinya yang telah berbeza daripada bahasa Arab yang asal. Begitu juga halnya dengan perkataan “dharurat” dan “dhaif” ditukarkan konsonan “dh” kepada “d” sahaja iaitu “darurat” dan “daif” menyukarkan makna asal semantik perkataan itu sukar difahami penutur.

4. Ketidakseragaman pergantian vokal.
Ejaan baharu bahasa Melayu menunjukkan ketidakseragaman pergantian vokal. Contohnya dalam perkataan yang mempunyai huruf “e” dalam ejaan lama telah ditukarkan kepada pelbagai variasi vokal seperti “a”, “ai”, “i”, dan “u”. Contohnya perkataan “pabean” menjadi “pabean”, perkataan “heran” menjadi “hairan”, perkataan “endah” menjadi “indah”,dan perkataan “pesaka” menjadi “pusaka. Hal sedemikian akan menyukarkan pemahaman pengguna dalam bahasa Melayu.

5. Ketidakseragaman pergantian konsonan.
Ejaan baharu bahasa Melayu menunjukkan ketidakseragaman pergantian konsonan. Contohnya dalam perkataan yang mempunyai huruf “kh” dalam ejaan lama telah ditukarkan kepada variasi konsonan seperti “h” dan “k”. Contohnya perkataan “khaid” menjadi “haid”, dan perkataan “khanduri” menjadi “kenduri” Hal sedemikian akan menyukarkan pengejaan perkataan yang mempunyai konsonan tersebut dalam bahasa Melayu.

Oleh : Mohd Shafiq bin Jahaya

0 respon:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Reka bentuk oleh Pusat Servis Terhebat | Dengan kerjasama Encik Jalalludin dan rakan-rakan PISMP Bahasa Melayu Ambilan Januari 2009 | Delegasi Pencinta Bahasa