Rabu, September 07, 2011

Bahasa Melayu Gah Di Mata Dunia

Bahasa merupakan alat vital. Bahasa adalah kunci yang membuka minda kita. Benjamin Whorf, sarjana linguistik Amerika pernah berkata bahawa, bahasa membentuk fikiran dan emosi, persepsi menentukan realiti. Bahasa maju apabila masyarakat menggunakan bahasa itu sebagai alat untuk menciptakan atau membina kemajuan. Apabila kita berkata “Maju Bangsa Majulah Bangsa” bermaksud tidak lain dan tidak bukan ialah bahasa akan berkembang selaras dengan kemajuan bangsa yang menggunakan bahasa itu. Yang dimaksudkan dengan bahasa di sini tentunya bahasa kita sendiri, yakni bahasa kebangsaan, dan bukannya bahasa asing.


Apakah wasilah terpenting untuk membentuk bangsa Malaysia? Jawapannya jelas: Bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) kerana ‘Bahasa Jiwa Bangsa’. Hal ini bermakna bahasa yang kita daulatkan, maka bahasa itulah yang membentuk jiwa kita yang sekali gus memercikkan jati diri kebangsaan. Justeru, jika seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira asal-usul mendaulatkan bahasa kebangsaan, akan terzahirlah citra dan keperibadian sebagai satu bangsa Malaysia. Sebaliknya, jika kita mendaulatkan bahasa asing, akan terpancarlah ‘jati diri asing’. Lantas, terencatlah pembentukan jati diri kita


Untuk menghakikatkan gagasan ini bukanlah mudah, apatah lagi jika kita sebagai rakyat Malaysia mendaulatkan bahasa-bahasa asing di negara kita sendiri — dogma pemikiran bahasa yang aneh sekali pada zaman pascakolonialisme.


Perlu ditegaskan, dalam konteks pembinaan bangsa Malaysia dan pemajuan negara menurut acuan kemalaysiaan sendiri, pendaulatan hanyalah kepada bahasa kebangsaan — bukannya bahasa-bahasa asing. Inilah prinsip umbi yang seharusnya kita junjung, jika benar kita serius untuk menghakikatkan gagasan pembentukan bangsa Malaysia, seperti kata pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Ironinya, kita dituntut menguasai bahasa asing, tetapi janganlah pula jiwa dan pemikiran kita dikuasai bahasa asing. Hal ini bukan budaya bangsa maju. Bangsa yang maju, moden, perkasa menjunjung tiga pacak ketamadunan: Mendaulatkan bahasa kebangsaannya, mencintai jati diri kebangsaannya (bukan perkauman-kesu-kuan) dan setia kepada negaranya yang satu.


Secara jujur, perlu diakui kita belum mematuhi acuan itu. Lantaran itu, Malaysia dilihat sebagai ‘negara tanpa bangsa’, bangsa Malaysia. Hakikat ini amat pahit, tetapi benar. Persoalannya, mengapa hanya bahasa kebangsaan dinobatkan sebagai alat pemersatuan bangsa, seperti yang terpancar menerusi slogan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’?


Perlu dinyatakan di sini hanya bahasa kebang-saan (bukannya bahasa asing atau bahasa ibunda) dapat menitiskan semangat satu bangsa, menyerapkan roh sebangsa, senegara dan menyemarakkan jati diri kebangsaan (lawannya identiti perkauman), di samping pendaulatan bahasa kebangsaan yang menjadi bukti ketaatsetia-an, penghormatan dan pemuliaan kepada nusa tercinta.


Malah, bahasa kebangsaan jugalah berperanan sebagai bahasa ilmu (dalam segenap bidang), bahasa pentadbiran, bahasa ekonomi, bahasa sosial dan bahasa peradaban moden. Oleh itu, kepentingan bahasa kebangsaan sebagai wadah terpenting — selain wadah pendidikan dan kebudayaan kebangsaan, untuk membentuk keperi-badian bangsa Malaysia bersemboyankan gagasan ‘satu bahasa, satu bangsa, satu negara’’, jelas tidak sewajarnya disangsikan oleh sesiapa pun


Bangsa dan bahasa tidak dapat dipisahkan dalam proses pembinaan tamadun dan kemajuan manusia. Dari perspektif evolusi, kemajuan bangsa memang sentiasa men-dahului perkembangan bahasa. Kita ambil contoh yang biasa. Istilah baharu yang belum ada dalam satu-satu bahasa akan diciptakan hanya apabila bangsa yang memiliki bahasa itu memerlukan istilah itu untuk menyatakan sesuatu makna, konsep atau keadaan yang baru ditemui oleh bangsa itu.


Dengan cara yang demikian berkembanglah bahasa. Kemajuan seperti inilah, yang boleh kita sebut sebagai kemajuan dalaman atau kemajuan endogenus, yakni daripada ciptaan minda dan budaya bangsa itu sendiri. Proses kemajuan seperti ini boleh dirancang, yakni dipercepatkan. Jika menurut proses evolusi kemajuan bangsa sentiasa mendahului perkembangan korpus bahasa, menurut proses perancangan atau revolusi pula, kemajuan bangsa dan perkembangan bahasa itu dapat dipercepatkan, misalnya melalui dasar bahasa, dasar pendidikan, dasar ekonomi dan sebagainya.


Tujuan dasar bahasa kebangsaan tentulah untuk menjadikan bahasa itu sebagai alat kemajuan bangsa dalam bidang apa pun. Di sinilah letaknya peranan bahasa kebangsaan dalam merealisasikan bangsa Malaysia. Sekiranya kita mengabaikan peranan dan kepentingan bahasa kebangsaan, ini bermakna kita telah tergelincir daripada gerabak pembentukan bangsa Malaysia itu sendiri. Kejayaan pembentukan negara-bangsa Jepun, Korea, selain pengasasan negara-bangsa di benua Eropah dan Amerika Syarikat, sewajarnyalah kita teladani. 


Mereka terbukti telah berupaya memodenkan negara sekali gus membina bangsa dengan mendaulatkan bahasa kebangsaan negara bangsa masing-masing. Justeru, akan tercapaikah gagasan pemajuan negara dan pembinaan bangsa Malaysia, jika rakyat tidak mendaulatkan bahasa kebangsaan sendiri?


Perlu ditegaskan kita bukan anti bahasa asing. Prinsip kita jelas dan tegas: Pelajari dan kuasailah bahasa asing, tetapi pendaulatan hanyalah terhadap bahasa kebangsaan. Inilah sikap dan pemikiran yang amat diperlukan untuk merealitikan slogan ‘Maju Bahasa Majulah Bangsa’, yakni bangsa Malaysia.

Oleh:
Mohd Fahmi Asyraf Bin Mohd Nor Azmi

1 respon:

En. W berkata...

Tahniah atas usaha pihak saudara/i sekalian dalam memartabatkan Bahasa Melayu.

Izinkan saya untuk berkongsi sebuah laman blog, hasil nukilan seorang guru Bahasa Melayu yang telah bersara.

http://bahasajiwabangsaku.blogspot.com/

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Reka bentuk oleh Pusat Servis Terhebat | Dengan kerjasama Encik Jalalludin dan rakan-rakan PISMP Bahasa Melayu Ambilan Januari 2009 | Delegasi Pencinta Bahasa