Selasa, September 27, 2011

Kata Pemeri

Keliru dengan penggunaan “ialah” dan “adalah”. Apa perbezaan antara dua perkataan itu, dan bagaimana hendak digunakan?Bahagian ini diambil daripada Tatabahasa Dewan.Mari sama-sama kita memahami perbezaan antara kedua-dua perkataan ini.

Kata Pemeri
Kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Pemerihalan itu dapat dilakukan melalui dua cara, iaitu:
(i) secara persamaan antara subjek dengan predikat atau ekuatif, dengan penggunaan kata pemeri ialah,

(ii) secara huraian tentang subjek oleh predikat, dengan penggunaan kata pemeri adalah.


Penggunaan kata pemeri ‘ialah’ hadir di hadapan frasa nama seperti yang terdapat dalam ayat-ayat berikut:
Antara perkara yang dibicarakan dalam buku itu ialah masalah moral negara.

Dalam terjemahan komunikatif, yang mustahak ialah mesej yang hendak disampaikan.
Bahasa Melayu ialah bahasa yang tergolong dalam keluarga Austronesia.


Kata pemeri ‘adalah’ pula hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi seperti yang terdapat dalam ayat berikut:
Sumbangan besar beliau adalah dari segi peningkatan ekonomi rakyat luar bandar.

Makanan seimbang adalah baik untuk kesihatan badan.

Perlu diingat bahawa penggunaan kata pemeri amat terbatas, dan sebenarnya kurang digalakkan dalam pembentukan ayat bahasa Melayu.

Perlu juga diingat bahawa kata pemeri tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja. Oleh yang demikian, penggunaan kata pemeri ‘adalah’ dalam ayat-ayat berikut dianggap menyalahi tata nahu bahasa Melayu.
1. * Adalah diberitahu sekolah akan ditutup esok.

2. * Adalah dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.
3. * Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin.
4. *Kegagalan projek itu adalah disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu.

Ayat di atas seharusnya berbentuk seperti berikut:
Ayat 1. * Adalah diberitahu sekolah akan ditutup esok, yang betul adalah seperti berikut:
a. Dengan ini diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok.

b. Anda diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok.
c. Ibu bapa diberitahu sekolah akan ditutup esok.
d. Tuan-tuan diberitahu sekolah akan ditutup esok.
e. Dengan hormatnya diberitahu sekolah akan ditutup esok.


Ayat 2. *Adalah dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan, yang betul adalah sepert berikt:
a. Dengan ini dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.

b. Tuan dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.
c. Anda dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.


Ayat 3. *Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin, yang betul adalah seperti berikut:
a. Dengan ini diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin.

Ayat 4. *Kegagalan projek itu adalah disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu, yang betul adalah seperti berikut:
a. Kegagalan projek itu disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu.


oleh : Norshabarina Binti isa

0 respon:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Reka bentuk oleh Pusat Servis Terhebat | Dengan kerjasama Encik Jalalludin dan rakan-rakan PISMP Bahasa Melayu Ambilan Januari 2009 | Delegasi Pencinta Bahasa