Khamis, September 08, 2011

Syair Guru



Inilah kisah kerjaya mulia,
Mendidik mengajar selagi terdaya,
Ibarat lilin memberi cahaya,
Bukan balasan harta pintanya.

Guru itu sanggup berbakti,
Membentuk insan mulia pekerti,
Kejayaan murid sangat bererti,
Jasa dikenang sampai ke mati.

Daripada guru kita belajar,
Huruf dan angka disebut lancar,
Membaca mengira tiada sukar,
Jiwa yang lemah menjadi mekar.

Jika berkasar bukannya marah,
Dia mengajar menunjuk arah,
Masa depan hendaknya cerah,
Ke mana pergi rezeki murah.

Awal pagi guru pun datang,
Bakti dicurah sampai ke petang,
Murid disayang mahu ditatang,
Mendorong minda bijak dan matang.

Bukan kaya ukuran harta,
Murid berjaya itulah semata,
Jasa dikenang bukan diminta,
Sehingga saat menutup mata.

Sekali guru selamanya begitu,
Sentiasa berikhtiar tiada buntu,
Melepas musibah satu persatu,
Jaya akhirnya sudahlah tentu.

Tiada guru yang buruk sikapnya,
Menjadi teladan mulia hatinya,
Senang merujuk tempat bertanya,
Semua yang kusut lerai akhirnya.

Di mana sahaja sedia berkhidmat,
Tutur katanya sentiasa cermat,
Tingkah laku selalu berhemat,
Jadi ikutan pasti selamat.

Guru pemangkin hasrat wawasan,
Mendidik memimpin tiada bosan,
Mengharap balas bukan alasan,
Jadilah guru sanjungan insan.

Sering guru memberi nasihat,
Jauh segala gejala tak sihat,
Jangan dicuba tipu muslihat,
Di dalam hati terus terpahat.

Ilmu itu sentiasa dicari,
Jadilah guru manusia bestari,
Banyak membaca lengkapkan diri,
Elakkan utama kepentingan sendiri.

Jangan bezakan diri pelajar,
Semua mereka sama diajar,
Nama gelaran jangan dikejar,
Buatlah yang baik selagi wajar.

Bukan pangkat jadi taruhan,
Tetapi berkat jadi pilihan,
Buat amalan ikut suruhan,
Martabat bangsa itu tempahan.

Jika ada murid yang nakal,
Guru yang bijak mengguna akal,
Kuatkan azam hatipun cekal,
Didikan yang baik perlu dibekal.

Falsafah negara itu matlamat,
Hidup harmoni semua selamat,
Cabaran wawasan jadikan azimat,
Kukuh iltizam di hati tersemat.

Demikian sudah resamnya guru,
Yakin terpuji tiada terburu,
Sedia berbakti segenap penjuru,
Pembimbing masyarakat ke alaf baru.

Noradila Abdullah.
(Dewan Sastera, Mei 2006)

3 respon:

Ieyda Achieda berkata...

iyaahhhh ! datang pun dylla ! hee ~

naughty don berkata...

hahahhaha...

ahsfantasy24 berkata...

Ramai tunggu dyla ni ^^,

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Reka bentuk oleh Pusat Servis Terhebat | Dengan kerjasama Encik Jalalludin dan rakan-rakan PISMP Bahasa Melayu Ambilan Januari 2009 | Delegasi Pencinta Bahasa