Jumaat, September 09, 2011

Di Mana Bahasa Melayu di Mata Rakyat Malaysia?


“Kita tidak boleh membincangkan masa depan bahasa Melayu tanpa membincangkan masa depan masyarakat Melayu. Bahasa Melayu ialah produk kehidupan orang Melayu. Sejarah bahasa Melayu ialah sejarah orang Melayu. Masa depan bahasa Melayu akan menjadi masa depan orang Melayu juga.” – demikian kata-kata Allahyarham A. Samad Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Samad.
Mari kita lihat kedudukan Bahasa Melayu yang termaktub dalam perlembagaan menjadi bahasa kebangsaan bagi Malaysia di mata rakyat Malaysia.

  1. Bahasa Melayu layu di tanah air sendiri kerana dipinggirkan oleh rakyat Malaysia sendiri.
  2. Terdapat syarikat minyak antarabangsa yang mengenakan syarat mahir berbahasa Mandarin untuk diambil bekerja.
  3. Apabila kita melihat berita di televisyen, terlalu jarang kita tidak dapat lihat orang-orang penting di Malaysia bercakap dalam Bahasa Inggeris.
  4. Pengisian Bahasa Melayu tidak langsung menggambarkan ia sebagai bahasa teras rakyat Malaysia.
  5. Terlalu biasa kita dengar graduan menganggur kerana tidak mahir Bahasa Inggeris dan terlalu jarang kita dengar graduan menganggur kerana tidak mahir Bahasa Melayu. Adakah semua pekerjaan memerlukan berkomunikasi dengan rakyat luar negara?

Apakah akan terjadi pada tahun 2020 nanti? Adakah ketika itu bahasa Melayu hanya sesuai menjadi tatapan generasi 2020 sebagai salah satu lipatan sejarah di Muzium Negara? Mungkin ini akan berlaku sekiranya rakyat Malaysia sibuk menguasai dan bertutur dalam bahasa lain sehingga melupakan Bahasa Melayu.

Perancis dan Jepun adalah dua bangsa yang jauh maju ke hadapan berbanding Malaysia tetapi di hati mereka hanyalah bahasa kebangsaan mereka. Kita pula masih tercari-cari rentak untuk bergelar negara maju, tetapi sudah mula lupa diri.

Malaysia tidak akan menjadi negara maju dan mapan jika rakyatnya sendiri tidak mempunyai jati diri mempertahankan kekuatan yang ada. Bahasa Melayu adalah salah satu kekuatan yang wajib dipertahankan. Paling penting bahasa Melayu wajib dimartabatkan sehingga seluruh Malaysia menggunakannya tanpa rasa segan dan silu.

Jangan kata-kata "takkan Melayu hilang di dunia" tinggal sejarah kerana bahasa melambangkan bangsa. Pudar bahasa, hilanglah bangsa.


Oleh : 
Mohd Shafiq Bin Jahaya

0 respon:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Reka bentuk oleh Pusat Servis Terhebat | Dengan kerjasama Encik Jalalludin dan rakan-rakan PISMP Bahasa Melayu Ambilan Januari 2009 | Delegasi Pencinta Bahasa