Selasa, Oktober 04, 2011

Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu

PENGAJARAN SECARA KUMPULAN
Pengajaran secara kumpulan meminta pengajaran guru dihadkan kepada murid-murid dalam satu-satu kumpulan tertentu. Lazimnya bahan-bahan yang digunakan adalah berbeza di antara satu kumpulan dengan satu kumpulan yang lain, dan pengajaran dijalankan dalam keadaan kerusi meja yang disusun secara berkelompok.

Ada dua bentuk kumpulan yang boleh dilaksanakan dalam kelas. Pertama kumpulan mengikut kebolehan atau pencapaian, iaitu murid-murid yang lebih kurang sama taraf kebolehan mereka diletakkan dalam satu kumpulan berdasarkan keputusan ujian atau lain-lain cara pengukuran kebolehan otak murid-murid. Kedua, ialah kumpulan mengikut pelbagai kebolehan dan kecenderungan.

KUMPULAN MENGIKUT KEBOLEHAN
  • Kumpulan jenis ini melibatkan murid-murid yang lebih kurang samam taraf kebolehan mereka. Mereka ini diletakkan dalam satu kumpulan berdasarkan keputusan penialaian.
  • Pengumpulan murid-murid mengikut kebolehan biasanya digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran seperti lisan, membaca, dan menulis. Ini membolehkan guru memberi perhatian kepada satu-satu kumpulan murid yang hampir-hampir sama kebolehannya dalam usaha menanamkan satu-satu kemahiran. Guru dapat merancangkan jenis pemeringkatan bahan mengikut kebolehan murid-murid dalam kumpulan berkenaan.
  • Kumpulan mengikut kebolehan harus dibentuk berdasarkan penilaian guru, sama ada pemerhatian atau ujian. Kebolehan murid-murid berbeza-beza mengikut mata pelajaran serta aspek-aspek tertentu dalam satu-satu mata pelajaran. Kebolehan mereka berubah-ubah dari semasa ke semasa. Oleh itu, ahli satu-satu kumpulan tidak semestinya sama sepanjang masa. Perhatian diberi kepada individu-individu hendaklah juga dijalankan.
  • Pada amnya, guru bolehlah membentuk 3 kumpulan; kumpulan cerdas (2 kelompok), kumpulan sederhana (5 kelompok), kumpulan lemah (1 kelompok).
Guru harus menyediakan bahan-bahan yang sesuai dan sewajarnya mengikut kelompok masing-masing.


KUMPULAN MENGIKUT PELBAGAI KEBOLEHAN
  • Kumpulan mengikut pelbagai kebolehan boleh dilakukan setelah murid-murid dapat menguasai kemahiran asas.
  • Melalui kumpulan mengikut pelbagai kebolehan, murid-murid yang cerdas diminta membantu murid-murid yang lemah dan perkembangan emosi dan sosial yang sihat dapat dibina melalui aktiviti-aktiviti seperti lawatan, kerja projek, permainan, simulasi, dan sebagainya.
  • Murid-murid juga berpeluang memainkan peranan mengembangkan bakat kepimpinan. Perkembangan sahsiah yang sihat dapat juga dibina. Begitu juga halnya dengan pemupukan semangat kerjasama, mengukuhkan sikap bertimbang rasa, bertanggung jawab, bertolak ansur, dan sebagainya. Selain itu, semangat pertandingan yang sihat antara kumpulan juga boleh diadakan.
PRINSIP-PRINSIP PENGAJARAN KUMPULAN
Berikut diperlihatkan beberapa perkara penting yang harus diberi perhatian oleh guru sewaktu hendak melaksanakan pengajaran secara berkumpulan :
  • Murid-murid harus dibiasakan dengan satu rutin atau tatakerja aktiviti kumpulan, iaitu apabila satu-satu aktiviti kumpulan hendak dilaksanakan, murid harus tahu tugas mereka. Misalnya, mengambil alat atau bahan, membahagikan bahan-bahan kepada setiap kumpulan, menjalankan aktiviti, mempersembahkan hasil aktiviti, menyimpan bahan dan alat, mengemas tempat, dan lain-lain.
  • Guru harus bersedia dan boleh menerima suasana pelajaran yang agak bising yang ditimbulkan oleh murid-murid semasa mereka bersoal jawab.
  • Guru harus dapat menentukan supaya tidak ada murid-murid yang merasa besar diri atau rendah diri berada di dalam sesuatu kumpulan.
  • Perhatian juga hendaklah diberi kepada individu-individu tertentu walaupun mereka telah ditempatkan dalam kumpulan.
  • Kerjasama dan pertandingan yang sihat hendaklah diwujudkan dalam kumpulan atau diri setiap individu.
  • Sebelum menjalankan aktiviti kumpulan, guru hendaklah menyediakan murid-murid dan beri arahan dengan jelas. Guru hendaklah juga menyediakan tajuk-tajuk perbincangan. Setiap aktiviti yang hendak dijalankan hendaklah dirancangkan terlebih dahulu. Pastikan alat-alat dan bahan-bahan yang diperlukan tersedia.
  • Semasa aktiviti-aktiviti dijalankan, guru hendaklah beredar daripada satu kumpulan ke kumpulan yang lain untuk membimbing dan menggalakkan murid-murid mendapat pengetahuan. Bagi melicinkan pengendalian gerak kerja kumpulan, guru bolehlah melantik beberapa orang murid daripada setiap kumpulan untuk memegang tugas-tugas tertentu.
  • Di akhir pengajaran,guru hendaklah membincangkan hasil kerja murid bagi tiap-tiap kumpulan. Ini memberi peluang setiap daripada mereka mengetahui tentang apa yang telah diperoleh oleh kumpulan-kumpulan tersebut. Guru boleh juga mempamerkan hasil kerja murid yang didapati baik. Ini dapat membantu meninggikan keyakinan murid. Di samping itu, mereka juga dapat merasakan diri mereka diberi penghargaan. Kadangkala cara ini dapat juga memberi panduan, galakan, dan dorongan kepada murid-murid lain.
  • Sebelum pelajaran ditamatkan, guru dan murid perlu membuat rumusan tentang apa yang dipelajari. Selepas itu mereka diminta mengumpul, mengemas, dan menyimpan barang-barang.

PENGAJARAN SECARA INDIVIDU
Pengajaran secara individu biasanya mengamalkan cara pengajaran yang menumpukan perhatian terus kepada seseorang murid tertentu dengan bahan-bahan pengajaran yang dikhaskan kepadanya. Pengajaran cara ini diasaskan kepada pengakuan bahawa seitap murid adalah berbeza dari segi intelek, minat, kecekapan, daya cipta, dan kebolehan-kebolehan lain. Kesemua pengajaran individu diwujudkan dengan mengambil kira perbezaan pencapaian serta kadar kepantasn murid. Pengajaran cara ini pada keseluruhannya bertujuan supaya murid-murid boleh belajar mengikut kemampuan sendiri.

Pengajaran secara individu ini boleh dijalankan dalam dua bentuk mengikut tujuan dan objektifnya. Pertama ia boleh dilakukan seperti pengajaran biasa yang bertujuan untuk mengatasi masalah-masalah pembelajaran yang dihadapi oleh individu-individu tertentu. Biasanya, guru akan memberi perhatian yang teliti dan rapi kepada individu tersebut dan cuba membantunya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Untuk satu pembelajaran yang lebih berkesan, pengajran bentuk ini tidak menggalakkan jumlah bilangan murid yang besar kerana perhatian tidak dapat dilakukan sepenuhnya. Pengajaran secara individu ini amat sesuai untuk pengajaran pemulihan.

Bentuk kedua yang boleh dilakukan ialah terhadap murid-murid yang maju dalam pembelajaran mereka. Pengajaran secara individu bukan bertujuan untuk memperkayakan pengalaman pembelajaran mereka. Biasanya, murid-murid akan menggunakan kebijaksanaan mereka sendiri untuk belajar tanpa bergantung sangat kepada guru. Hubungan murid dengan guru adalah paling minimal. Segala sumber pembelajaran dirancangkan supaya setiap pelajar mengkaji objektif pembelajarannya dan bertindak sendiri untuk mencapai objektif-objektif ini.

Bahan-bahan belajar sendiri disusun dengan tujuan supaya murid akan mencapai kemajuannya sendiri mengikut kebolehan dan keupayaan masing-masing, dan untuk membolehkan murid-murid mencapai objektif mereka pada lain-lain masa. sistem ini menegaskan fleksibiliti dari segi masa, aktiviti-aktiviti diagnostik dan pemulihan, pemilihan bahan-bahan mengikut kemampuan sendiri serta tempat belajar dan cara mempelajarinya. Dalam sistem yang lengkap, media seperti bahan-bahan bercetak, bahan-bahan tayangan, filem slaid atau strip, pita rakaman video, dan lain-lain boleh digunakan. Aktiviti pengajaran terancang atau pukal pembelajaran sendiri adalah amat penting.

PENGAJARAN SECARA KUMPULAN SEBAYA (PEER GROUP)
Pengajaran secara kumpulan sebaya adalah satu lagi cara menyampaikan pelajaran yang boleh dilaksanakan oleh guru di dalam kelas. Ini tidak banyak berbeza dengan cara-cara kumpulan kaedah lain, cuma dalam kaedah ini seorang murid itu diperlukan mengajar atau membimbing rakan-rakannya yang lain.

Kelas yang dikendalikan melalui cara ini biasanya mengandungi pelajar-pelajar yang hampir-hampir sama dari semua segi. Mungkin mereka berbeza dari segi kecerdasan. Walau bagaimanapun, dalam banyak hal, seperti umur, minat, kecenderungan, dan kepentingan, mereka adalah serupa. Sama seperti kumpulan pelbagai kebolehan, pelajar-pelajar dalam kumpulan sebaya digalakkan supaya memberi tunjuk ajar kepada rakan-rakan dan ini boleh dilaksanakan pada bila-bila masa. Dalam pengajaran bahasa, galakan perlu diberi kepada murid-murid pandai supaya membimbing rakan-rakan mereka yang memerlukan pertolongan dalam membaca dan menulis.

Pengajaran secara kumpulan sebaya, menggalakkan murid-murid berinteraksi sesama sendiri secara bebas. Ia memberi peluang kepada mereka belajar, mengkaji, dan menjalankan aktiviti bersama-sama. Cara ini biasanya menggalakkan perkembangan kemahiran-kemahiran interpersonal. Murid-murid diberi peluang untuk mendapatkan maklum balas daripada rakan-rakan mereka. Selain itu, melalui perbincangan atau aktiviti-aktiviti yang diadakan, pelajar-pelajar belajar bekerjasama, bertolak ansur, hormat-menghormati, rakan-rakan lain, dan sebagainya.

Dari segi pengajaran, ia tidak banyak membebankan guru. Keadaan murid-murid yang tidak banyak berbeza itu memudahkan guru-guru membuat persediaan. Murid-murid yang pandai pula dapat membantu guru-guru menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh murid-murid lemah.

PENGAJARAN SECARA KELAS BERCANTUM
Pengajaran secara kelas bercantum biasanya dilakukan dengan menggabungkan dua atau beberapa kelas menjadi satu kumpulan kelas. Murid-murid dalam kelas tersebut tidak mempunyai tahap pencapaian yang sama. Keadaan begini kerap berlaku di sekolah-sekolah rendah yang murid-muridnya terhad kepada bilangan yang amat kecil. Kemungkinan juga ia boleh berlaku jika sesebuah sekolah itu tidak mempunyai cukup guru untuk ditugaskan mengajar kelas-kelas tertentu.

Kadangkala pengumpulan murid-murid dalam kelas bercantum tidak perlu mengiktu kumpulan kelas. Mereka boleh dikumpulkan mengikut minat, perbezaan pencapaian, dan sebagianya. mereka diperlukan saling membantu seperti satu pasukan.

Pengajaran secara kelas bercantum, biasanya menggunakan kaedah kumpulan, iaitu murid-murid yang berkebolehan dan yang berada di tahap yang lebih kurang sama dikumpulkan bersama. Setiap kumpulan akan diberi tugas dan mereka belajar serentak dalam masa yang sama.

Bahan-bahan pengajaran biasanya diperingkatkan mengikut kebolehan mereka. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan juga mungkin berbeza antara kumpulan-kumpulan tersebut. Oleh yang demikian, pengajaran cara ini memerlukan guru-guru yang sanggup bekerja keras, rajin, berdedikasi, dan bertanggung jawab. Mereka juga harus bijak dan boleh menyesuaikan kaedah pengajaran dengan keadaan sebenar di dalam kelas.

0 respon:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Reka bentuk oleh Pusat Servis Terhebat | Dengan kerjasama Encik Jalalludin dan rakan-rakan PISMP Bahasa Melayu Ambilan Januari 2009 | Delegasi Pencinta Bahasa