Ahad, Disember 18, 2011

PM Jamin Kebebasan Kepada Sasterawan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan akan terus menjamin kebebasan kepada kumpulan sasterawan kerana dunia kini sudah berubah dan cabaran yang dihadapi juga banyak berbeza dengan sebelum ini. Katanya, keadaan pada masa ini berbeza dengan sebelum ini di mana kumpulan itu menghadapi kesukaran berkarya tetapi masih dapat menyuntik semangat kemerdekaan melalui tulisan masing-masing.

"Jika sasterawan masa dahulu disekat kebebasan untuk bersuara, tetapi kini sesiapa pun boleh bersuara secara bertulis pada bahan bercetak dan juga bebas memuat naik segala tulisan di laman maya," kata Najib.

Berucap ketika merasmikan Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) ke-3 di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam tadi, Najib mengingatkan tentang peranan sasterawan yang sentiasa mampu mengubah lanskap politik negara.

"Ya, memang benar ahli politik dilihat sebagai pelaksanan perubahan, namun semua orang maklum bahawa nyalaan semangatnya tetap datang daripada buah fikiran yang disemai secara halus serta tersirat oleh para penulis dan pengarang sastera tanah air," katanya disambut tepukan gemuruh lebih 500 penulis yang hadir.

PPMN merupakan himpunan tahunan penulis muda terbesar daripada seluruh negara yang dimulakan pada tahun 2005.Sementara itu, Najib juga berkata, kerajaan sentiasa mengalu-alukan pendapat dan kritikan membina daripada golongan itu untuk menambahbaik pentadbirannya.

"Seperti yang selalu saya sebut, era kerajaan mengetahui segala-galanya dan mempunyai monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir," katanya lagi. Menurutnya juga, penulis tidak pernah berkarya untuk menghancurkan keamanan sebaliknya ke arah kebenaran dan kebaikan.

Sumber : Malaysiakini

0 respon:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Reka bentuk oleh Pusat Servis Terhebat | Dengan kerjasama Encik Jalalludin dan rakan-rakan PISMP Bahasa Melayu Ambilan Januari 2009 | Delegasi Pencinta Bahasa