Sabtu, September 15, 2012

Cabaran Bahasa Melayu




Cabaran Bahasa Melayu Terhadap Sikap Penuturnya


Dalam abad ke-21, sikap penutur atau masyarakat amat penting dalam penggunaan bahasa ibunda. Sekiranya sikap penutur tiada kesungguhan atau perasaan malu menebal dalam diri penutur kerana menggunakan bahasa ibunda, sudah pasti bahasa ibunda akan terkubur. Oleh yang demikian, bagi bahasa Melayu, cabaran yang sebenarnya terletak pada sikap yang dipegang oleh penuturnya. Jadi , abad ke-21 telah memperlihat kelemahan terhadap sikap penutur yang tidak mengambil berat terhadap bahasa kebangsaan mereka. Hal ini disebabkan mereka sudah terdidik dalam bahasa Inggeris dan lebih selesa bercakap bahasa Inggeris. Akibatnya, mereka yang tidak mahu menggunakannya telah membentuk satu sikap tidak ‘kisah’ terhadap bahasa ibunda. Peristilahan dan tutur kata tidak dilakukan kerana tidak mengikuti perkembangan bahasa Melayu. Apabila disuruh memberi pendapat dan idea, mereka lebih suka bertutur dalam bahasa Inggeris. Begitulah apabila ada seminar atau pembentangan walaupun di dalam dewan ada seorang bukan rakyat Malaysia, mereka lebih suka bertutur dalam bahasa Inggeris. Justeru, permasalahan ini iaitu sikap penutur merupakan satu cabaran yang perlu ditangani secara berhati-hati pada abad ke-21 agar bahasa Melayu tidak dipandang rendah oleh masyarakat sendiri. Nik Safiah Karim dalam buku Sumbangsih, Kumpulan Esei Mengenang Jasa Asraf, memperkatakan, bahawa bahasa Melayu, cabaran yang sebenarnya terletak pada sikap yang dipegang oleh penuturnya. Yang tidak dapat dinafikan ialah hakikat kepentingan dan kesesuaian bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa. Jadi, yang tidak dapat dinafikan ialah hakikat kepentingannya dan kesesuaian bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa. 

Abad ke-21 memang membawa cabaran kepada bahasa Melayu dari segi persaingan dengan bahasa Inggeris tetapi tidaklah keadaan ini menjadi satu cabaran besar sehingga menggugat kedudukan bahasa Melayu. Oleh yang demikian sikap rakyat Malaysia mesti yakin dengan keupayaan dan kemampuan bahasa kebangsaan. Kita seharusnya berasa bangga dengan bahasa Melayu kerana kekal sehingga sekarang dan bangga terhadap bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi. Kemudian sesuaikan dengan keadaan apabila hendak menggunakan bahasa Inggeris. Ironisnya, langkah ini tidak akan timbul keadaan bahasa Melayu tergugat oleh bahasa Inggeris. 


Cabaran Bahasa Melayu Dalam Penggunaan Bahasa Melayu

Belakangan ini, pada abad ke-21 beberapa gejala yang amat membimbangkan berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu. Pengaruh media elektronik telah merosakkan penggunaan bahasa Melayu dari segi pertuturan,ayat, istilah, bahasa rojak dan sebagainya. Kerosakan penggunaan bahasa Melayu yang paling teruk berlaku ialah golongan remaja. Pada abad ke-21, sudah menjadi satu trend atau ikutan kepada golongan remaja dalam penggunaan bahasa Melayu. Senario ini cukup membimbangkan dan jika tidak ditangani dengan segera, sudah pasti keindahan bahasa Melayu tidak kedengaran atau berkumandang lagi.
Berbalik kepada penggunaan bahasa Melayu, kebanyakan pengacara majlis atau program di televisyen dan radio dalam pengendalian sesuatu program, sudah menjadi kewajiban untuk mencampuradukkan bahasa mereka. Dalam mengendalikan sesuatu program atau rancangan, pengacara pada peringkat awal menggunakan bahasa Melayu. Namun, perkara yang sebaliknya telah berlaku iaitu dalam pertengahan program hingga akhir, pengacara mencampuradukkan penyampaian bahasa Melayu dan bahasa Inggeris walaupun programnya lebih kepada berbahasa Melayu dan penontonnya majoritinya berbangsa Melayu.

Memang tidak dapat dinafikan, rakyat di negara kita mahir dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Terdapat pelbagai bentuk dan cara dalam pertuturan mereka. Mengikut Nik Safiah Karim, [2004], ada kalanya dua bahasa ini berselang-seli ,iaitu satu ayat dalam satu bahasa diikuti oleh ayat dalam bahasa kedua. Sebagai contoh ialah “ Saya mengambil keputusan untuk pergi, then I thought I should consult my father.” Begitulah dengan penggunaan perkataan yang lain iaitu “ Dalam hal ini you paling best.” “How are you today..harap OKlah.”Keadaan ini sudah menjadi kebiasaan mana-mana rancangan atau program televisyen pada abad ke-21. Sekiranya permasalahan ini tidak dibendung, sudah tentu memberi impak atau cabaran yang besar kepada kedudukan bahasa Melayu di negara ini.
Manakala golongan remaja pula, penggunaan bahasa Melayu mereka cukup membahayakan dan boleh merosakkan nilai bahasa Melayu. Hal ini disebabkan kecanggihan teknologi maklumat pada abad ke-21 iaitu penggunaan telefon bimbit. Untuk menghantar sms kepada rakan-rakan, mereka menggunakan bahasa rojak dan berlakulah kerancuan bahasa. Menurut Prof Dr. Hashim Hj. Musa, kerancuan bahasa ialah penggunaan bahasa yang tidak mengikut peraturannya sama ada dari segi sintaksis, morfologi, fonologi, kosa kata, istilah dan sebagainya, yang mengakibatkan kekacauan dan ketidaktekalan dari segi pembentukan ayat, klausa, frasa, ejaan, sebutan, kosa kata dan istilah. Di sini , terdapat beberapa perkataan yang sering disalahgunakan semasa menghantar sms. 

Misalnya, perkataan-perkataan seperti kang (nanti), a’kum (assalamualaikum), w’lam (wa’alaikumsalam), dowang (mereka), tipon (telefon) dan persal (mengapa). Pengubahsuaian juga telah dibuat kepada kata gantinama seperti sayer (saya), dier (dia) dan nko (engkau). Begitu juga dengan kata tanya telah diubah suai seperti biler (bila), camner (bagaimana) dan maner (mana). Kerancuan bahasa Melayu abad ke-21 merupakan satu cabaran yang boleh merosakkan keteraturan,kehalusan dan keintelektualan bahasa Melayu, kerana menjejas sistem dan peraturannya yang menyebabkan kecelaruan dan ketidaktekalannya. Hal ini akan merosakkan martabat dan kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pendidikan dan bahasa ilmu tinggi, yang akhirnya akan menurunkan maruahnya dan disisihkan sedikit demi sedikit oleh pengguna bahasanya.


Oleh,
RUSLINA BINTI NAJAHUDDIN
900520-06-5398

0 respon:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Reka bentuk oleh Pusat Servis Terhebat | Dengan kerjasama Encik Jalalludin dan rakan-rakan PISMP Bahasa Melayu Ambilan Januari 2009 | Delegasi Pencinta Bahasa