Selasa, Oktober 09, 2012

KEYAKINAN TERHADAP BAHASA KEBANGSAAN



Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006

Langkah-langkah Memperkasakan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam  Perkhidmatan Awam, mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul dari segi ejaan, sebutan, istilah, dan tatabahasa dalam hal-hal, seperti mesyuarat, surat-menyurat, arahan pada papan tanda dan papan kenyataan, iklan, dokumen rasmi, penamaan di tempat awam (jalan, kawasan perumahan, premis perniagaan dan lain-lain), dan sebagainya”. 

Pekeliling tersebut jelas memberikan garis panduan kepada pihak berwajib, seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) umpamanya untuk memastikan setiap iklan yang diluluskan mengikut syarat yang dinyatakan.



Selain surat pekeliling tersebut, Garis Panduan Perancangan Papan Iklan Luar mulai tahun 2009 juga telah dikuatkuasakan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Kementerian Perumahan dan KerajaanTempatan (KPKT). Garis panduan ini juga mensyaratkan setiap papan iklan hendaklah menggunakan bahasa Melayu sama ada dengan sepenuhnya atau bersama-sama dengan mana-mana bahasa lain.

Namun begitu, persoalannya masih terdapat papan tanda atau papan iklan awam yang mengagung-agungkan bahasa asing. Adakah bahasa Melayu tidak berupaya untuk menyampaikan maksud yang diuar-uarkan oleh iklan berbahasa Inggeris itu? Adakah bahasa Inggeris sahaja yang mampu melariskan barangan atau perkhidmatan yang diiklankan?

Persoalan tersebut timbul di dalam fikiran penulis apabila turut serta membuat pemantauan dan kaji selidik tentang penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan luar di beberapa kawasan di sekitar ibu kota. Sudah tentunya menjadi suatu hal yang sangat menjengkelkan penulis apabila melihat iklan rumah untuk dijual yang kebanyakkannya menggunakan bahasa Inggeris walaupun pembelinya rakyat Malaysia sendiri. Adakah rakyat Malaysia sudah begitu menguasai bahasa Inggeris dan tidak lagi memahami iklan dalam bahasaMelayu?

Selain iklan yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya, kelihatan juga iklan berbahasa Melayu yang mempamerkan kesalahan ejaan, istilah, dan tatabahasa. Iklan dalam dwibahasa pula didapati lebih mengutamakan bahasa Inggeris dari segi saiz, warna, dan kedudukan berbanding dengan bahasa Melayu. Secara keseluruhan, kaji selidik yang dijalankan mendapati 50 peratus iklan yang dipantau tidak menggunakan bahasa kebangsaan dan mempunyai kesalahan bahasa.

Adakah kita lebih berbangga dengan iklan yang menggunakan bahasa Inggeris? Tanyalah kepada diri kita sendiri.Sebagai warganegara yang bertanggungjawab dan cinta akan bahasanya, para peniaga atau pengeluar iklan sewajarnya sedar akan peranan dan tanggungjawab mereka dalam memartabatkan bahasa kebangsaan, baik melalui penggunaannya seharian mahupun pada iklan yang ingin dipaparkan. 


MOHD ZAHIRUDDIN BIN ABDULLAH

0 respon:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Reka bentuk oleh Pusat Servis Terhebat | Dengan kerjasama Encik Jalalludin dan rakan-rakan PISMP Bahasa Melayu Ambilan Januari 2009 | Delegasi Pencinta Bahasa