Isnin, Oktober 01, 2012

Menangani Isu Bahasa Rojak







ISTILAH bahasa rojak bukan istilah ilmu. Istilah ini dicipta mereka yang prihatin akan situasi dan nasib bahasa Melayu. Boleh dikatakan isu ini diperkatakan saban tahun di negara kita memandangkan apa yang disaran dan dicadangkan tentang isu ini tidak pernah membawa apa-apa hasil yang diharap-harapkan.

Terbaru, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menyarankan agar diwujudkan semula Jawatankuasa Penyelaras dan Penyeragaman Bahasa agar memastikan semua stesen media di negara kita menggunakan bahasa yang sama untuk penonton.

Penyeragaman ini sangat penting memandangkan siaran radio dan televisyen mendapat sambutan ramai di kalangan penonton dan pendengar serta sudah semestinya bahasa memainkan peranan sangat besar untuk menyampai maklumat dan pelbagai lagi. Beberapa kertas kerja mengenai bahasa dibentangkan dalam Seminar Bahasa dalam Penyiaran anjuran Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) baru-baru ini yang dihadiri wakil stesen penyiaran tempatan.

Nasib bahasa kebangsaan dianggap membimbangkan ekoran sikap kita yang tidak begitu peka tentang peranan dan masa depan bahasa sendiri.Stesen penyiaran juga tidak terlepas daripada menghadapi masalah ini kerana ada rancangan membabitkan penyertaan penonton yang kebanyakannya tidak ambil kisah tentang penggunaan bahasa mereka. Penggunaan bahasa rojak yang semakin meluas terutama kiriman ucapan tahniah, selamat pagi dan sebagainya menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) oleh penonton menjadikan kita keliru dengan identiti bahasa kita sendiri.


Maka ramai yang merumuskan bahawa identiti bahasa kita semakin terkikis. Lama-kelamaan bahasa rojak dianggap akan menguasai pertuturan, penulisan dan lebih malang dalam penulisan karangan di sekolah sudah dikatakan ada penggunaan bahasa rojak di kalangan pelajar sehingga menjejaskan markah.


 Oleh M Jasni Majed

Sumber:http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Menanganiisubahasarojak/Article/index_html





Nurasyidah bt Mohd Rasid
PISMP BM/PJ/KH

0 respon:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Reka bentuk oleh Pusat Servis Terhebat | Dengan kerjasama Encik Jalalludin dan rakan-rakan PISMP Bahasa Melayu Ambilan Januari 2009 | Delegasi Pencinta Bahasa