Sabtu, Oktober 06, 2012

Utamakan Bahasa Melayu!





KKenyataan Akhbar Presiden Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk]

Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk] mengucap syabas dan tahniah kepada Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr Zambry Abd. Kadir kerana bertindak tegas dalam mendaulatkan bahasa Melayu di Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) sebagaimana siaran akhbar Utusan Malaysia, 7 Julai 2011 yang menyebut;

"Kerajaan negeri mengarahkan MPKK mengutamakan bahasa Melayu dalam pemberian nama projek-projek yang dibangunkan di bandar tersebut."

Beliau juga menegaskan bahawa nama yang diguna-pakai pada tempat tumpuan ramai atau papan tanda hendaklah mengambil-kira kedudukan dan taraf Kuala Kangsar sebagai Bandar Di Raja.

Isu ini timbul apabila orang ramai mempertikaikan tindakan MPKK menggunakan nama "Riverfront Kuala Kangsar" bagi mempromosi destinasi pelancongan baru berhampiran Sayong. MPKK dilihat cuba mempertahankan tindakannya walaupun menerima bantahan ramai. Desakan NGO serta badan-badan penulis tidak diendahkan sebaliknya MPKK menyalahkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang lambat menterjemahkan "Riverfront Kuala Kangsar" ke bahasa Melayu.

Dalam hubungan ini, Karyawan Pk mengesyurkan agar MPKK mengambil-guna nama klasik Kampong Sayong iaitu "Lam Sayong" yang dicadangkan oleh Pengarang terkenal anak Perak, Dato' Mokhtar Petah untuk dijadikan nama tebingan Sungai Perak itu dan tidak perlu diterjemahkan. Justeru "Riverfront Kuala Kangsar" dicadangkan menjadi "Tebing Lam Sayong". Nama itu walaupun kelihatan tidak komersial tetapi mengandungi unsur sejarah dan jati diri Kuala Kangsar sebagai Bandar Di Raja bagi negeri Perak.

Apatah lagi Kuala Kangsar terkenal dengan "Labu Sayong" akan dilengkapi pula nama tebingan Sungai Perak dengan "Lam Sayong" menimbulkan daya tarikan tersendiri bagi pelancong untuk mengetahuinya dengan lebih mendalam.

Dalam pada itu, menyentuh tentang arahan Menteri Besar Perak, MPKK dan semua berkuasa tempatan supaya mengutamakan bahasa Melayu di setiap premis termasuk nama jalan adalah tindakan yang kena pada masanya. Karyawan Pk mengambil kesempatan merujuk cadangannya ke Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) agar nama Jalan Caldwell ditukar kepada Jalan Pawang Ana telah ditolak oleh majlis tersebut tanpa sebarang alasan.

Karyawan Pk berharap MBI menimbangkan semula cadangan tersebut selaras dengan arahan Menteri Besar. Pihak kami sedia berbincang kerana alasan dan rasionaliti telah dikemukakan kepada MBI merupakan sebahagian resolusi Seminar Pemikiran Pawang Ana yang telah diadakan pada 25 Oktober tahun lalu dan dirasmikan oleh Dato' Zainol Fadzi Paharudin, Exco Kerajaan Perak.

Untuk makluman Pawang Ana adalah tokoh penglipur lara negara berasal dari Perak. Karya yang tuturkannya telah dibukukan oleh R.O Winstedt (seorang pentadbir Inggeris) dalam tempoh 1906 hingga 1914 ketika pegawai Inggeris itu bertugas di Perak. Sebanyak lima buah karya Pawang Ana telah diiktiraf sebagai karya Agung kesusasteraan Melayu dan dikategorikan sebagai karya klasik bermutu tinggi. Antaranya ialah Anggun Cik Tunggal, Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Malim Deman, Hikayat Raja Muda dan Hikayat Malim Dewa.

-Hj. Zabidin Hj Ismail

Tarikh: 7 Julai 2011






Siti Normazilla Mah Hussin



0 respon:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Reka bentuk oleh Pusat Servis Terhebat | Dengan kerjasama Encik Jalalludin dan rakan-rakan PISMP Bahasa Melayu Ambilan Januari 2009 | Delegasi Pencinta Bahasa