Sabtu, November 24, 2012

Program Memelihara dan Memulihara Alam Sekitar

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

KUALA LIPIS 21 Nov. - Penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam kempen bumi hijau merupakan satu inisiatif bagi menarik masyarakat menjaga alam sekitar sebagai sebahagian daripada keutamaan dalam kehidupan mereka. Justeru, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dan beberapa NGO Lipis berganding bahu melestarikan kehijauan alam dan keceriaan bandar bersejarah di sini dengan menanam pokok bunga bagi mengindahkan lagi kawasan sekitar.

Seramai 200 ahli pengakap dari Ibu Pejabat PPM Kuala Lumpur, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Lipis, Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Lipis, Gerakan Belia 4B Lipis dan Majlis Daerah Lipis (MDL) telah menjayakan program berkenaan baru-baru ini.

SEBAHAGIAN ahli pengakap dan NGO memegang anak pokok sebagai persediaan memulakan tanaman di Taman Tema Bandar Kuala Lipis, Pahang semasa projek menghijaukan bandar tersebut, baru-baru ini.Turut serta dalam menjayakannya ialah Pesuruhjaya Pengakap dari 11 negeri apabila masing-masing menanam pokok bunga dan pokok teduhan di taman tema di bandar ini.

Terdahulu, majlis simbolik pelancaran program itu dilakukan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman dengan menanam dua pokok teduhan di taman tersebut.Yang turut hadir Setiausaha Latihan PPM, Shukor Mohsin; Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Datuk Abdul Kadir Mohd. Noor; Penolong Pesuruhjaya Pengakap Antarabangsa, Eric Khoo dan Setiausaha Kerja PPM, Zaki Nuruddin.

Menurut Eric, program itu bertujuan menyemai rasa tanggungjawab ahli pengakap terhadap alam sekitar dengan kegiatan menghijaukan landskap di kawasan bandar khususnya di bandar ini. "Langkah ini sejajar dengan undang-undang dan latihan kepengakapan sendiri yang menggalakkan ahlinya memulihara alam sekitar untuk tujuan ekosistem serta menghijaukan bumi ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Menurut beliau, semua ahli pengakap tanpa mengira usia, pekerjaan, organisasi di sektor swasta mahupun kerajaan perlu bekerjasama memelihara dan memulihara alam sekitar yang semakin terancam sejak akhir-akhir ini.

Dalam pada itu, Shukor berkata, projek itu dilaksanakan serentak oleh ahli pengakap di seluruh negara dengan memilih lokasi di lapangan tertentu, bandar, pekan, perumahan, sekolah, pejabat kerajaan dan kem pengakap. "Program ini dapat menyemai sikap ahli mencintai alam sekitar serta memahami kepentingan dan peranan tumbuh-tumbuhan dalam kehidupan sama ada di negara ini atau di seluruh dunia.

"Perkara yang paling penting iaitu ahli pengakap dari semua kaum bersyukur terhadap ciptaan dan anugerah Tuhan yang tiada nilainya apabila kesedaran tertanam di jiwa masing-masing untuk melestarikan kehijauan alam," katanya. Katanya, program itu juga berupaya merapatkan hubungan ahli PPM dengan semua NGO di seluruh negara sejajar dengan matlamat untuk melakarkan kesejahteraan, perpaduan, kemanusiaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Ahli yang terlibat: Mohd Fahmi Asyraf bin Mohd Nor Azmi, Mohd Shafiq bin Jahaya, Raja fakimi bin Raja Mahamud, Nurul Nazwa binti Osman, Nur Idayu binti Mat jusoff, Noratikah binti Abidin.

Artikel Penuh: 
© Utusan Melayu (M) Bhd

0 respon:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Reka bentuk oleh Pusat Servis Terhebat | Dengan kerjasama Encik Jalalludin dan rakan-rakan PISMP Bahasa Melayu Ambilan Januari 2009 | Delegasi Pencinta Bahasa