Sabtu, Jun 15, 2013

Guru Baharu Wajib Mengajar di Pedalaman

BALIK PULAU – Tiga tahun mengajar di sekolah pedalaman adalah antara syarat baru yang akan diwajibkan kepada bakal- bakal guru.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, syarat-syarat itu membabitkan guru lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) kelolaan kementerian itu serta institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Bagaimanapun jelasnya, perkara itu masih pada peringkat cadangan tetapi menjadi salah satu strategi kementerian dalam usaha melahirkan barisan guru yang terlatih termasuk dari segi pengajaran dan psikologi.

“Pendedahan ini amat baik dan memberi pengalaman berguna kepada mereka. Cara ini juga dapat memastikan hanya calon yang benar-benar bersedia menyandang jawatan ini.

“Walaupun syarat ini telah diguna pakai tetapi objektifnya seperti yang dihasratkan kementerian kurang berjaya kerana kerap kali ada campur tangan pihak luar untuk guru baru ini bertukar,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Balik Pulau di sini semalam.

Sumber: Kosmo! Online
Hakcipta terpelihara

Cuti Semester: Ahmad Naquddin Berdakwah

KUALA LIPIS 12 Jun - Biasanya penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) menghabiskan cuti semester dengan 'memerap' di rumah setelah penat bergelut dengan pengajian di kampus atau melancong jika berkemampuan.

Namun terdapat juga penuntut yang memilih membuat kerja kebajikan, apatah lagi aktiviti seperti itu merupakan kegiatan berharga kerana bukan sahaja dapat menggilap pengetahuan malah mampu mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat.

Atas hakikat inilah, seorang penuntut Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP), Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Hajah Afzan (IPGKTAA), Lipis, Ahmad Naquddin Abdul Wahid, 23, memilih sekolah pondok Maahad Tahfiz a-Quran Waal Tarbiyah Al Diniah Kampung Relong, Lipis untuk mengabdikan diri dan pengetahuannya untuk berdakwah.

Ahmad Naquddin berkata, dia memilih sekolah pondok berkenaan untuk mempraktikkan kemahiran tajwid dan hafazan al-Quran kepada 18 pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun di situ.

"Saya tidak memilih balik ke kampung di Pekan, sebaliknya memilih sekolah pondok kampung itu untuk melaksanakan kerja sukarela iaitu mendidik pelajar tahfiz.

"Tugas ini amat murni dan ini adalah persediaan saya sebagai pendidik apabila tamat belajar di IPGKTAA Lipis tidak lama lagi," kata penuntut semester lapan itu di Kampung Relong dekat sini baru-baru ini.

Dia yang ditemui ketika mengendalikan ujian tasmik iaitu ujian bacaan al-Quran bersama tiga tenaga pengajar pondok berkenaan menyifatkan pengalaman selama dua minggu di situ amat berharga, sekali gus mendorongnya untuk menjadi guru tahfiz.

"Ketika mula bercuti, saya terus memohon untuk mengajar secara sukarela di pondok ini dan kehadiran saya diterima dengan senang hati termasuk oleh mudir pondok ini, Ustaz Sirajuddin Imam Uda," katanya.

Dia yang pernah belajar di Maahad Tahfiz al-Quran di Kuantan dan Pekan berkata, minat pelajar di Kampung Relong itu amat tinggi dan bersemangat menghafaz surah al-Quran dan ada yang sudah menghafaz 28 juzuk.

"Saya membantu membetulkan sebutan bacaan dan tajwid serta menyempurnakan pengajaran tentang bab fardu ain dalam kalangan pelajar di sini," katanya.

Ahmad Naquddin berkata, selesai cuti semester minggu ini, dia akan kembali semula untuk meneruskan pengajian Pendidikan Islam di IPGKTAA Lipis dan menanam tekad untuk menjadi seorang yang berdedikasi, khususnya dalam bidang dakwah.

Tambahnya, cintanya terhadap al-Quran menzahirkan perasaan berharga iaitu turut menyayangi anak-anak dan pelajar dengan menumpahkan pengetahuan dan pengalaman tentang bidang hafazan ayat kitab suci berkenaan.

© Utusan Melayu (M) Bhd
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Reka bentuk oleh Pusat Servis Terhebat | Dengan kerjasama Encik Jalalludin dan rakan-rakan PISMP Bahasa Melayu Ambilan Januari 2009 | Delegasi Pencinta Bahasa